Terus imarahkan masjid

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 11 Jan – Dalam usaha berterusan untuk memberigakan mengenai perancangan aktiviti keagamaan sepanjang tahun ini, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid hari ini telah mengadakan taklimat yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Taklimat yang dihadiri oleh 11 ketua belia dan muslimah masjid dari Daerah Belait itu telah disampaikan oleh Ketua Unit Belia, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Yushli bin Haji Ashli.

Dalam taklimat tersebut, Haji Yushli menyatakan bahawa taklimat tersebut adalah untuk memberikan pengetahuan yang berguna kepada perwakilan belia masjid mengenai bagaimana untuk menjadi role model kepada belia yang lain.

Beliau berharap taklimat tersebut akan menjadikannya proaktif dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan sekali gus mengimarahkan lagi masjid dan juga memberikan pengalaman yang berguna kepada belia masjid.

Dalam pada itu juga, ia menggalakkan ahli-ahli belia masjid untuk menjadi insan yang aktif dalam menyemarakkan lagi masjid masing-masing dengan aktiviti keagamaan sepanjang tahun ini dan juga mengukuhkan hubungan silaturahim antara ketua-ketua belia masjid di seluruh Daerah Belait.

Terdahulu, taklimat tersebut turut diadakan pada minggu lalu di Daerah Brunei dan Muara (Zon 1 dan 2) dan taklimat di Daerah Tutong akan diadakan hari ini manakala di Daerah Temburong akan diadakan pada Februari nanti.

Haji Yushli ketika menyampaikan taklimat di Masjid Muhammad Jamalul Alam.
Ketua-ketua belia dan muslimah masjid bergambar ramai bersama Haji Yushli pada sesi taklimat tersebut.