Terus komited bendung penularan COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Pengesanan bagi kemunculan kes pertama COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan yang telah bekerja rapat dengan IHR National Focal Point di Malaysia bagi pengesanan kluster COVID-19 dari jamaah tabligh yang telah menjejaskan beberapa negara di rantau ini.

Perkara itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sesi perkongsian maklumat pada Mesyuarat Virtual Menteri-menteri Kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Rantau Pasifik Barat mengenai Perpaduan Bersama untuk Memerangi COVID-19 yang bersidang melalui video di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, pada sesi perkongsian maklumat itu, Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa pengalaman menyertai Joint External Evaluation (JEE) dari WHO 2019 di Negara Brunei Darussalam telah membantu dalam langkah-langkah persiapan negara dalam menangani wabak COVID-19.

Ini termasuklah tindakan seluruh kerajaan bagi menangani kes-kes awal COVID-19, pergerakan kakitangan kesihatan di barisan hadapan, pergerakan bantuan daripada pihak polis dan tentera dalam menjejaki kontak-kontak, penyediaan tempat-tempat kuarantin khas melalui bantuan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), meningkatkan keupayaan makmal dengan membina sebuah Unit Diagnostik Molekular bagi Virus-virus Pernafasan dan penerimaan bantuan daripada pihak masyarakat dalam sama-sama membendung penularan COVID-19 sama ada berupa sumbangan, kerja-kerja sukarelawan atau penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan lain bagi membantu menangani wabak COVID-19 di negara ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsi analisis kes-kes jangkitan COVID-19 di Brunei, yang mana lebih 30 peratus daripada kes-kes tidak menunjukkan sebarang simptom asymptomatic dan terus berada dalam keadaan tidak menunjukkan simptom asymptomatic sepanjang jangkitan sehingga disahkan sembuh.

Kementerian Kesihatan semasa Mesyuarat Virtual Menteri-menteri Kesihatan di WHO Rantau Pasifik Barat. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

Beliau turut mengongsi bahawa siasatan pada kes-kes berikut menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan berlakunya jangkitan tanpa disedari (silent transmission) dalam kalangan penghidap COVID-19, yang mana hasil daripada dapatan berkenaan dan menggandakan lagi usaha pihak Kementerian Kesihatan untuk membuat ujian-ujian COVID-19 terhadap mereka yang disyaki dan tidak menunjukkan sebarang simptom.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat Dato mencadangkan pihak WHO untuk mengkaji semula garis panduan teknikal yang sedia ada untuk memastikan setiap negara akan benar-benar memberikan keutamaan pada pengesanan, pengasingan, menjalankan ujian dan merawat setiap kes demi menghentikan rangkaian jangkitan COVID-19.

Yang Berhormat Dato juga menyarankan supaya pihak WHO untuk menerajui bagi mengenal pasti exit strategy bagi mengelakkan risiko penularan semula, di samping membenarkan pengembalian semula kepada kehidupan normal secara selamat dan berfasa.

Beliau juga memohon supaya pihak WHO menerajui sebuah proses yang boleh menentukan kriteria tertentu bagi menghentikan sekatan-sekatan secara perlahan, di samping mengambil kira kesihatan mental, emosional, sosial dan kerohanian setiap individu dan masyarakat, yang mana semua memerlukan pemulihan.

Mesyuarat berkenaan bertujuan untuk memberikan maklumat perkembangan terkini mengenai situasi COVID-19 di rantau Pasifik Barat dan memberikan peluang bagi menteri-menteri kesihatan dan wakil-wakil negara dari bidang kesihatan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman dalam menangani COVID-19.

Mesyuarat maya itu telah dibuka dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai.

Turut hadir dalam menyampaikan mesej-mesej di peringkat tinggi ialah Setiausaha Agung WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Perdana Menteri dan Menteri bagi Hal Ehwal iTaukei dan Industri Gula Republik Fiji, Tuan Yang Terutama Josaia Voreqe Bainimarama; Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc dan Perwakilan Khas Ketua Pengarah bagi Kesiapsiagaan dan Respons WHO terhadap COVID-19 dan Pengarah Serantau, Emeritus Dr Shin Young-soo.