Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Kontinjen Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) terus meningkatkan usaha untuk menyediakan program dan suasana yang kondusif serta selesa bagi pelajar-pelajar mereka.
Dalam hubungan itu, dengan perasmian bangunan baru Pusat Ehsan, baru-baru ini, ia menyediakan ruang yang lebih selesa untuk melaksanakan pelbagai program untuk pelajar-pelajar pusat berkenaan.
Kini Pusat Ehsan sedang melaksanakan fasa ke-2, Projek Pembaharuan Pusat Ehsan yang akan menyaksikan pembinaan kompleks vokasional dan surau di pusat berkenaan.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman dalam kata alu-aluannya di Majlis Silaturahim sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Tetamu Istimewa dari Pusat Ehsan, hari ini.
Di majlis yang berlangsung di Hotel Orchid Garden itu, Haji Ahmad turut mengalu-alukan mana-mana pihak swasta atau individu yang ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi fasa kedua projek itu supaya dapat tampil ke hadapan dalam sama-sama memastikan para pelajar istimewa pusat itu akan terus mendapatkan perhatian dan pendidikan yang berkualiti.


Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur majlis kerana terus bermurah hati untuk menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya berkenaan bagi warga Pusat Ehsan.
Terdahulu dari itu, Ketua Kampung Menglait dan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung Menglait, Haji Mohdar bin Haji Ahmad menyatakan bahawa majlis itu merupakan kegiatan tahunan yang dianjurkan bersama oleh Kumpulan Syarikat Malar Setia dan Majlis Perundingan Kampung Menglait untuk memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama warga Pusat Ehsan.
Di majlis berkenaan, penyampaian sumbangan derma kepada Pusat Ehsan, KACA dan SMARTER Brunei turut diadakan yang disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif / Pengarah Kumpulan Syarikat Malar Setia, Haji Abdul Rahman bin Haji Metasim, Pengurus Syarikat Perniagaan Malar Setia, C.L.Lim dan Pengurus Syarikat Perniagaan Muneera, Chia Tet Shin kepada wakil dari Pusat Ehsan, Haji Ahmad, wakil dari KACA, Haji Roslan bin Haji Hassan dan wakil dari SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.
Majlis juga diserikan dengan penyampaian duit raya kepada tetamu istimewa dari Pusat Ehsan oleh isteri Ketua Kampung Menglait, Hajah Fatimah binti Haji Ludin, isteri Pengerusi Eksekutif/Pengarah Kumpulan Syarikat Malar Setia, Hajah Kamsiah binti Haji Ahmad dan isteri Pengurus Syarikat Perniagaan Malar Setia, Jong Siew Choong.
Di majlis itu, para jemputan disajikan dengan pelbagai juadah makanan dan minuman serta juga acara cabutan bertuah.