KUALA LUMPUR, 7 FEB – Pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) dijamin akan terus menikmati agihan hak penyiaran bagi saingan musim ini, namun jumlahnya bergantung kepada nilai keseluruhan tajaan diraih Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hasaan mengesahkan perkara itu selepas MFL hari ini memeterai perjanjian kerjasama bersama Telekom Malaysia (TM) Berhad menerusi anak syarikat, TM Multimedia (TMM) yang menjadikan TM sebagai penaja utama bagi saingan Piala Malaysia.
Ab Ghani, yang enggan mengulas peluang pasukan menikmati nilai hak penyiaran lebih baik berbanding musim lepas, berkata, MFL sentiasa menghormati hak pasukan bertanding dan sedang dalam usaha mencari lebih banyak penaja.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, sebelum ini, dipetik sebagai berkata, jumlah hak penyiaran bagi saingan musim ini kemungkinan besar dikurangkan susulan kesukaran mendapatkan penajaan.
Pasukan Liga Super dan Liga Premier sebelum ini dijangka menerima hak penyiaran Liga-M musim 2019 masing-masing bernilai RM3 juta dan RM1 juta, namun hanya menerima separuh daripada jumlah tersebut berikutan MFL berhadapan kekangan kewangan akibat ketiadaan penaja utama. – Bernama




























