Terus sebarkan semangat patriotik, solidariti

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan hari ini meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di dua buah sekolah berasingan.

Di Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, taklimat kenegaraan telah diadakan di Dewan Taklimat, sekolah tersebut dengan dihadiri oleh seramai 144 orang pelajar Tahun 7.

Hadir menyampaikan taklimat ialah Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Awang Mohammad Hisyam bin Idris.

Sementara itu, Di Daerah Temburong, taklimat telah diadakan di Dewan Sekolah Arab Temburong dan dihadiri oleh kira-kira 64 orang para pelajar Tahun 5 hingga Tahun 8.

Menurut kenyataan dari Jabatan Penerangan, taklimat yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan melalui cawangan Jabatan Penerangan Daerah Temburong dan Unit Kenegaraan itu telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Luar Penerangan, Awang Halime bin Haji Tajuddin yang sedikit sebanyak menyentuh mengenai raja, tatacara menaik dan mengibarkan bendera dan sejarah lagu kebangsaan.

Program secara berterusan ke sekolah-sekolah itu adalah usaha jabatan tersebut untuk memberigakan dan menyemai semangat patriotisme, solidariti dan kenegaraan dalam kalangan pelajar dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.

Antara yang disentuh dalam kedua-dua taklimat itu, ialah mengenai raja kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan lebih terperinci.

Para pelajar juga menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.

Ia kemudian diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada penuntut yang berjaya menjawab kuiz.

Antara pelajar perempuan Sekolah Arab Temburong yang menghadiri taklimat kenegaraan. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Sekolah Menengah Chung Hwa.