Terus semai rasa cinta kepada raja, negara

Oleh Normazlina M.D

Gambar oleh Infofoto

 

TUTONG, 7 Mac – Seramai 117 orang penuntut Tahun 7 Sekolah Menengah Sayyidina Othman Tutong telah mengikuti sesi Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ di sekolah berkenaan, kelmarin.

Taklimat yang dihadiri Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Dr. Vincent Andrew itu telah disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, cawangan Penerangan Daerah Tutong, Awang Mohd Adi Zamhari bin Haji Awang Yahya.

Taklimat antara lain menyentuh mengenai ‘Raja Kita’, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Para pelajar yang mendengarkan taklimat itu juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan dengan mereka yang berjaya menjawab soalan kuiz tersebut telah diberikan hadiah yang disampaikan oleh pengetua sekolah berkenaan.

Taklimat anjuran Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Daerah Tutong itu adalah bertujuan sebagai usaha berterusan jabatan berkenaan dalam menyemai perasaan cintakan raja dan menanamkan semangat patriotisme para penuntut untuk menghormati bendera negara serta menjiwai lagu kebangsaan.

Salah seorang penuntut yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan menerima hadiah daripada pengetua SM Sayyidina Othman.