Terus semarak Sambutan Maulidur Rasul

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkuasa mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul bagi Tahun 1441H/ 2019M yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, bangunan kementerian berkenaan, hari ini.

Majlis kelolaan kementerian tersebut bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Turut hadiri ialah setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua eksekutif, pengarah-pengarah jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkuasa.

Majlis itu disemarakkan lagi dengan ceramah bertajuk, ‘Meneladani Muamalat Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Sammali bin Haji Adam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.