Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Terus tingkatkan kesedaran keselamatan siber

    Oleh Nurdiyanah R.

    Ke arah memastikan keselamatan akaun emel peribadi, lebih separuh daripada 1,326 responden telah melaksanakan two-factor authentication (2FA) sebagai salah satu amalan langkah berjaga-jaga daripada ancaman insiden-insiden keselamatan siber seperti serangan malware, penipuan dalam talian dan pelbagai bentuk phishing.

    Manakala sebanyak 34 peratus daripada responden menerapkan penggunaan kata laluan unik secara berbeza bagi setiap akaun yang mereka miliki. Namun masih didapati segelintir responden tidak membuat sebarang usaha untuk melindungi akaun emel peribadi mereka.

    Secara keseluruhannya, kumpulan umur 18 hingga 29 tahun adalah lingkungan usia terbesar yang melaksanakan 2FA untuk emel peribadi, aplikasi mesej dan media sosial. Ini mungkin merupakan petunjuk bahawa perkhidmatan ini memiliki kepentingan tersendiri dalam golongan tersebut.

    Dapatan itu merupakan antara hasil kajian mengenai tahap kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian anjuran Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) di bawah Cyber Security Brunei (CSB) menerusi kaji selidik dalam talian yang dilaksanakan pada 7 hingga 21 Jun lalu.

    Kaji selidik tersebut diberigakan kepada orang ramai menerusi akaun Telegram rasmi Gov.bn dan akaun media sosial BruCERT dan CSB serta semasa penyertaan BruCERT dalam Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (MYCE 2022).

    Para pengguna perlu memastikan aplikasi yang hendak dimuat turun adalah dari sumber yang dipercayai.
    Kebanyakan pengguna membenarkan seseorang mengetahui kata laluan terutamanya bagi mengikuti langganan dalam talian dan juga tidak terkecuali kata laluan bagi log masuk telefon dan komputer peribadi mereka.
    Antara ancaman insiden-insiden keselamatan siber seperti serangan malware, penipuan dalam talian dan pelbagai bentuk phishing.

    Kajian yang dibuka dalam tempoh dua minggu itu menerima sebanyak 1,326 respons secara keseluruhannya.

    Selain itu, kajian juga menyoal responden sama ada mereka pernah berkongsi kata laluan mereka untuk pelbagai jenis akaun dan peranti peribadi kepada seseorang, maka dalam perkara ini telah mendapati kata laluan yang paling banyak dikongsi bersama ialah kod laluan telefon, manakala yang paling kurang dikongsi ialah kata laluan untuk perbankan atas talian.

    Lebih 20 peratus daripada responden turut membenarkan seseorang mengetahui kata laluan terutamanya bagi mengikuti langganan dalam talian seperti Netflix dan juga tidak terkecuali kata laluan bagi log masuk komputer peribadi mereka.

    Di samping itu, kaji selidik turut memperoleh dapatan bahawa lebih separuh dalam peratus jumlah responden akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang aplikasi mudah alih yang dipilih. Dalam pada itu, sebanyak 94 peratus daripada responden hanya memuat turun aplikasi daripada sumber yang dipercayai.

    Demi mengurangkan risiko ancaman keselamatan, sebanyak 90 peratus daripada responden pula sering mengemaskinikan aplikasi dan perisian yang outdated dengan memadamnya serta merta kerana ia boleh menjadikan peranti terdedah.

    Sementara itu, lebih separuh daripada responden turut berkata mereka mengelak daripada memasukkan maklumat sensitif apabila disambungkan ke rangkaian Wi-Fi awam. Kira-kira satu per tiga hanya akan melayari encrypted websites, dan satu per tiga lagi mengelakkan log masuk ke laman sesawang semasa menggunakan Wi-Fi awam.

    Hanya 22 peratus daripada responden menggunakan virtual private network (VPN) untuk encrypt traffic apabila disambungkan ke rangkaian Wi-Fi awam. Manakala 59 peratus daripada responden pula lebih mengambil langkah tahap keselamatan dengan mengelak menggunakan Wi-Fi awam sama sekali.

    Kajian turut mendapati bahawa sebanyak 59 peratus daripada responden mempunyai salah tanggapan bahawa penipuan pelaburan harus dilaporkan kepada BruCERT, dan ada yang percaya mereka harus menghubungi BruCERT tentang masalah teknikal dengan komputer mereka atau isu sambungan Internet. Namun terdapat juga sebanyak 14 peratus daripada responden tidak mengetahui perkara yang perlu dilaporkan.

    Secara keseluruhan kaji selidik turut mendapati lebih separuh responden berkata mereka akan melaporkan insiden keselamatan siber kepada BruCERT, manakala 31 peratus pula tidak pasti dan 13 peratus menegaskan tidak mungkin melaporkan.

    Usaha berterusan BruCERT

    Oleh yang demikian, sebagai usaha berterusan untuk memupuk budaya penggunaan Internet yang bertanggungjawab dalam masyarakat dan meningkatkan kesedaran awam tentang ancaman dalam talian, BruCERT telah berjaya melancarkan laman sesawang yang baharu iaitu www.secureverifyconnect.info sekitar bulan Jun lalu.

    Laman sesawang berkenaan pada mulanya diperkenalkan kepada orang ramai pada 2013 untuk kempen kesedaran awam berterusan BruCERT, Secure Verify Connect (SVC).

    Antara lain tujuannya adalah untuk memudahkan orang ramai untuk mengakses bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan dalam talian termasuk media sosial, buli siber, pemangsa dalam talian, ketagihan Internet dan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak.

    Versi terkini laman sesawang SVC itu lebih memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan di samping mengandungi pelbagai artikel untuk pelayar seperti pelajar, ibu bapa, peniaga dan persendirian.

    Di samping itu, laman berkenaan juga akan memaparkan berita terkini BruCERT, makluman ancaman siber, nasihat, video kesedaran dan webinar. Selain itu, golongan pendidik juga akan mendapatkan sumber berguna termasuk poster dan buku-buku serta menyokong dalam mendidik orang ramai mengenai keselamatan dalam talian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...