Oleh Nurdiyanah R.
Begitu cepat masa berlalu, kini kita sudah menjejaki lebih seminggu tahun baharu 2023 dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT atas segala nikmat kehidupan selama ini.
Kenangan pahit dan manis perjalanan hidup sepanjang tahun 2022 pasti telah dilalui selagi kita bergelar hamba Allah dan segalanya menjadi pengajaran dan kekuatan untuk kita terus melangkah tanpa menoleh ke belakang.
Lazimnya, kedatangan tahun baharu seolah-olah tidak lengkap tanpa soalan ‘Apakah azam tahun baharu awda’? Sehingga ia menjadi satu perbualan dan fenomena ibarat setiap orang harus atau wajib mempunyai azam setiap kali menjengah ke tahun baharu. Hal ini terjadi kerana begitulah lumrah kehidupan manusiawi meletakkan jangka masa tertentu untuk mencapai sesuatu yang dicita-citakan dalam kehidupan mereka.
Fokus matlamat lebih jelas
Apabila kita membicarakan maksud azam secara umumnya ia merujuk kepada cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria. Untuk menggapainya, kita perlu menetapkan matlamat lebih jelas dan fokus dengan susunan perancangan strategi tertentu.
Pelbagai azam sering didengar yang pastinya menunjukkan sudut perkembangan positif dalam meniti kehidupan, seperti ‘saya mahu meningkatkan tahap kewangan’, ‘saya mahu menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya’, ‘saya ingin meningkatkan prestasi jualan’, dan sebagainya.
Hakikatnya, jika kita menyelami warna-warni kehidupan yang dilewati oleh orang-orang yang telah berjaya, pastinya azam mereka bukanlah perkara yang biasa-biasa bahkan itulah pencetus semangat juang mereka sehingga berdiri teguh ke titik puncak kejayaan.
Orang berjaya tidak memanggil azam baharu sebagai azam kerana mereka lebih menyukai ia sebagai satu matlamat yang perlu dicapai dalam tahun tersebut. Matlamat yang ditetapkan akan dihuraikan dengan lebih spesifik dan memenuhi format ‘SMART’ iaitu S= specific, M= measurable, A= attainable, R= realistic dan T= timely.
Manfaatkan masa sebaiknya
Bagi orang yang berjaya, masa adalah emas dan setiap detik itu berharga. Meskipun sibuk, namun meletakkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga adalah penting kerana ia simbol kejayaan yang sebenar.
Lantaran itu, perkataan produktif sangat sinonim dengan orang berjaya yang sentiasa meletakkan had-had untuk aktiviti-aktiviti tertentu agar masa tidak terbuang begitu sahaja.
Oleh itu, apa yang perlu diamalkan juga adalah memanfaatkan masa santai atau sering disebut sebagai ‘me-time’ adalah masa peribadi bagi orang yang berjaya.
Kebiasaannya waktu sebegini memberi peluang kepada orang berjaya untuk mengecas semula tenaga agar produktiviti dan kreativiti mereka tidak terbatas.
Satu perkara yang cukup signifikan juga ialah menjaga kesihatan dengan baik. Tanpa kesihatan yang baik dan stabil, segala perancangan dan matlamat yang telah dan sedang dibangunkan oleh orang berjaya akan terganggu.
Natijahnya, mereka akan fokus menjaga kesihatan secara keseluruhan termasuk kesihatan fizikal dan mental. Persekitaran hidup terancang dan teratur amat mustahak diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan produktiviti di tahap positif dan memberikan ketenangan dan kejelasan pada pemikiran orang berjaya.
Berhentilah memikir hal negatif
Selain itu, apa yang perlu kita ketahui juga orang berjaya sememangnya tidak ambil berat mengenai perkara-perkara negatif atau tidak hirau apa yang difikirkan oleh orang di sekelilingnya. Hal ini kerana mereka tidak mahu perkara-perkara remeh-temeh akan menghalang tindakan mereka untuk menjadi lebih maju. Maka, mereka akan fokus kepada matlamat berbanding hal sedemikian.
Di samping itu, orang yang ingin berjaya pastinya memiliki semangat untuk terus belajar dan menguasai ilmu atau kemahiran baharu yang akan memberi nilai tambah dalam kehidupan mereka.
Persoalannya di sini, adakah azam orang yang berjaya sama seperti kita? Oleh itu tepuk dada, tanya selera. Bersama kita berjuang menjadi insan yang lebih membangun meliputi aspek duniawi dan juga ukhrawi.
Oleh yang demikian, tidak terlambat rasanya, penulis ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 kepada seluruh masyarakat di negara ini dan didoakan semoga segala matlamat yang disasarkan akan tercapai tahun ini.