Tesco berdepan mogok sebelum Krismas

LONDON, 6 DIS – Gergasi pasar raya Britain, Tesco berdepan prospek rak-rak kosong menjelang Krismas ketika pemandu dan pekerja gudang mengadakan mogok kerana isu gaji, kesatuan perdagangan Unite memberi amaran hari ini.

Unite dalam satu kenyataan mengatakan lebih 1,200 ahlinya akan mogok dalam minggu-minggu akan datang, menyebabkan lebih banyak kesukaran logistik bagi peruncit terbesar Britain itu.

“Pelanggan Tesco di kebanyakan bahagian di UK berdepan rak-rak kosong menjelang Krismas memandangkan ahli Unite sudah pun mengumumkan mogok dalam apa yang dikatakan sebagai pertikaian isu gaji.

“Pekerja-pekerja terbabit berpangkalan di depot Tesco di Antrim dan Belfast di Ireland Utara dan di Didcot dan Doncaster di England,” tambahnya.

Sebarang tindakan industri akan memburukkan lagi gangguan rangkaian bekalan semasa yang sudah pun teruk akibat kekurangan produk susulan Brexit dan COVID-19. Tesco telah menawarkan kenaikan gaji empat peratus. Ia bagaimanapun ‘di bawah’ Indeks Harga Runcit (RPI) semasa Britain pada kadar 6 peratus, kata Unite.

RPI termasuklah kos perumahan dan lazimnya lebih tinggi berbanding Indeks Harga Pengguna (CPI) yang ukuran sasarannya oleh Bank of England pada 4.2 peratus.

Inflasi, kedua-duanya di Britain dan di peringkat global, meningkat kembali kerana harga tenaga yang meningkat naik dan peningkatan permintaan pasca perintah berkurung. – AFP