Tesco catat peningkatan dalam penjualan

LONDON, 26 JUN – Pasar raya gergasi Britain, Tesco hari ini mengumumkan penjualan suku pertama melonjak lapan peratus, kebanyakannya didorong oleh peningkatan pembelian dalam talian ketika orang ramai mula menggunakan perkhidmatan penghantaran barang runcit semasa perintah lockdown yang dikenakan di seluruh negara.

Jumlah penjualan tidak termasuk petrol melonjak kepada AS$16.6 bilion pada suku pertama syarikat – 13 minggu hingga akhir Mei – berbanding dengan tahun sebelumnya.

Peruncit terbesar di Britain itu mengatakan dalam kemas kini perdagangan bahawa walaupun pelanggan kini dilihat lebih jarang berbelanja tetapi pembelian barangan dilihat meningkat.

Kenaikan ini dilihat selepas kerajaan mula mengenakan perintah lockdown pada 23 Mac dalam usaha mengekang wabak COVID-19. Bagaimanapun lockdown mula dilonggarkan pada bulan ini.

Penjualan dalam talian melonjak naik 48.5 peratus dalam tempoh pelaporan ketika syarikat meningkatkan perkhidmatan penghantaran bagi memenuhi permintaan yang meningkat daripada para pelanggan.

Perniagaan dalam talian menyaksikan peningkatan jualan lebih daripada 90 peratus pada bulan Mei sahaja, tambah syarikat itu.

“Melalui tempoh yang sangat mencabar bagi semua orang, rakan-rakan Tesco mencapai keuntungan memberangsangkan, dan saya sangat bangga dengan apa yang telah mereka capai,” kata Ketua Eksekutif Dave Lewis. – AFP

Gambar fail pada 31 Mac 2020 menunjukkan pejalan kaki memakai penutup mulut dan hidung ketika melintasi sebuah kedai pasar raya Tesco di London. Tesco mengumumkan penjualan suku pertama melonjak lapan peratus, kebanyakannya didorong oleh peningkatan pembelian dalam talian. – AFP