SHANGHAI, 8 Mac – Pembuat kereta elektrik Tesla telah memenangi lebih daripada AS$520 juta pinjaman dari bank-bank China untuk membina kilang kereta luar negara yang pertama di sekitar Shanghai, sekali gus menjadikannya sebagai pembuat kereta asing yang pertama memiliki kilang di China.
Pembiayaan yang diumumkan hari ini merupakan rangsangan penting bagi firma yang berpangkalan di California itu setelah berunding selama bertahun-tahun dengan Beijing untuk membina loji di pasaran kereta elektrik terbesar dunia.
Gergasi AS itu akan membuat sedan Model 3 di kilang yang pada awalnya menyasarkan 3,000 kereta seminggu sebelum merancakkan pengeluaran tahunan kepada 500,000 menjelang akhir tahun ini.
Ketua Eksekutif Tesla Elon Musk ketika berada di China Januari lalu untuk upacara pecah tanah berkata beliau merancang untuk mendekati bank-bank tempatan bagi memastikan kilang itu dapat dibina.
Musk mempertaruhkan pasaran China yang semakin meningkat untuk kereta elektrik memandangkan Beijing memberikan lonjakan kepada industri itu dengan beransur-ansur meninggalkan bahan api fosil.
Pengeluaran tempatan dijangka membantu Tesla mengelakkan beberapa kesan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta mengurangkan kos pengeluarannya. Menurut penerbitan peraturan, Tesla telah memperoleh AS$521 juta daripada empat bank tempatan iaitu Bank Perindustrian dan Perdagangan China, Bank Pembinaan China, Bank Pertanian China dan Bank Pembangunan Shanghai Pudong. – AFP

































