Tesla bina kilang bateri terbesar dunia

FRANKFURT AM MAIN, 25 NOV – Bos Tesla, Elon Musk berkata semalam beliau merancang membina kilang sel bateri terbesar di dunia di tapak kilang kereta elektrik kumpulan berhampiran Berlin.

Tesla telah pun memulakan ‘pembinaan di sebuah kilang besar’ di kawasan berhutan di Gruenheide, selatan ibu negara Jerman, dijangka dibuka pada tahun depan.

Kilang itu merupakan kilang Tesla pertama di Eropah dan dijangka mengeluarkan 500,000 kenderaan sedan Model 3 dan SUV Model Y setahun.

Bercakap pada Persidangan Bateri Eropah yang dianjurkan oleh kemente-rian ekonomi Jerman, Musk berkata pengeluaran sel bateri di tapak Jerman yang sama bermula dengan kapasiti kira-kira 100 gigawat jam setahun, sebelum menambah kepada 250 GWh setahun.

Pada tahap itu, usahawan Afrika selatan itu berkata beliau ‘yakin ia akan menjadi kilang sel bateri terbesar di dunia.’

Pengeluaran bateri kenderaan elektrik sekarang dikuasai oleh firma China, Jepun dan Korea Selatan, dengan Eropah menyumbang sebahagian kecil pasaran.

Musk mengumumkan pelannya pada hari yang sama beliau menjadi orang kedua terkaya dunia, menurut Bloomberg, memintas pengasas Microsoft Bill Gates, selepas Tesla mencecah penilaian pasaran berjumlah AS$500 bilion. – AP