Tesla buatan China dieksport ke Eropah

BEIJING, 26 OKT – Syarikat automobil terkenal dunia, Tesla buat pertama kalinya mengumumkan Model 3 buatan China akan dieksport ke Eropah setelah kurang dari dua tahun kilang besar Tesla beroperasi di Lingang, Shanghai, lapor Radio Antarabangsa China (CRI).

Pada petang kelmarin, wartawan berpeluang melihat barisan kereta jenis tersebut di Pelabuhan Automobil Antarabangsa Hantong Shanghai yang dilengkapi dengan filem pelindung berwarna hitam, biru, merah, putih dan kelabu.

Menurut rancangan, kereta-kereta itu akan dihantar menerusi pengangkutan kapal esok, 27 Oktober dan dijangka tiba di pelabuhan Zeebrugge, Belgium pada penghujung November nanti.

Pengarah pengilangan dan pemasarannya, Song Gang menyatakan bahawa dengan berpandukan kepada kelebihan rantai industri yang kuat dan taraf pembuatan yang maju di China, Model 3 Tesla buatan China mempunyai daya saing yang kuat.

Jelasnya, pengeksportan ini turut menandakan mutu produk tersebut telah diiktiraf pasaran Eropah. – Bernama

Pengunjung melihat kereta Tesla Model 3 di bilik pameran Tesla di Beijing pada 21 Oktober. Model 3 buatan China akan dieksport ke Eropah pada 27 Oktober. – AFP