Tesla jangka mula hasil kereta di Berlin Oktober ini

BERLIN, 15 OGOS – Pengasas dan ketua eksekutif Tesla, Elon Musk kelmarin mengatakan bahawa dia berharap akan dapat menghasilkan kereta di kilang baharunya di luar Berlin menjelang bulan Oktober ini.

Syarikat yang berpangkalan di AS itu pada awalnya merancang untuk memulakan pembuatan kereta elektriknya di Gigafactory di Gruenheide, timur ibu kota Jerman, pada bulan Julai lalu.

Tetapi cabaran dan masalah undang-undang untuk mendapatkan kebenaran rasmi telah menunda projek itu untuk diteruskan.

“Kami berharap dapat memperoleh persetujuan untuk membuat kereta pertama di sana, mungkin pada bulan Oktober ini jika kami bernasib baik,” kata Musk semasa membuat lawatan ke tapak kilang pembuatan kereta itu pada Jumaat lalu.

Armin Laschet, calon blok kanan Union yang bakal menggantikan Angela Merkel sebagai canselor dalam pemilihan bulan depan, mengucapkan terima kasih kepada Musk atas pelaburannya di Jerman.

Laschet mencadangkan undang-undang Jerman harus berubah agar lebih sukar bagi orang yang tidak terjejas secara langsung dari pembinaan kilang untuk mengemukakan aduan undang-undang terhadapnya, lapor agensi berita Jerman dpa. – AP

Armin Laschet semasa bercakap dengan Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla ketika dalam lawatan di kilang Tesla Gigafactory di Gruenheide di Berlin, Jerman, baru-baru ini. – AP