Tesla kurangkan kos bateri kereta elektrik

SAN FRANCISCO, 23 SEPT – Tesla berkata semalam ia akan mengurangkan kos bateri untuk mempercepatkan peralihan global kepada tenaga boleh diperbaharui, dan mungkin mengeluarkan model bernilai AS$25,000 dalam masa tiga tahun.

Ketua eksekutif Elon Musk dan ketua kumpulan tenaga Tesla mengemukakan reka bentuk bateri, bahan dan inovasi pengeluaran yang bergabung untuk mengurangkan kos setiap jam kilowat sebanyak 56 peratus.

Pendekatan baharu kepada penghasilan bateri litium-ion untuk kenderaan amat diperlukan, berdasarkan bekalan terhad dan kos, kata Musk semasa pembentangan ‘Hari Bateri.’

Tesla sedang mempertingkatkan cara baharu untuk menghasilkan bateri di kilangnya di Lembah Silicon, dengan proses itu berpotensi membolehkan syarikat mengeluarkan satu model berharga AS$25,000 dalam ‘kira-kira tiga tahun,’ menurut Musk.

Meskipun matlamat untuk mengeluarkan kereta elektrik untuk orang awam, model Tesla buat masa sekarang bermula pada harga AS$35,000.

“Adalah amat penting kami mengeluarkan kereta yang mampu dibeli oleh orang,” ujar Musk.

“Kami yakin bahawa dalam jangka panjang, kami boleh mengeluarkan kenderaan elektrik yang mampu dibeli pada harga AS$25,000.”

Beliau meluahkan keyakinan Tesla mungkin mempunyai kereta pandu sendiri yang mampu dibeli di pasaran dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

Semasa pembentangan, Musk dan naib presiden kejuruteraan tenaga Drew Baglino mengemukakan butir-butir teknikal penghasilan bateri, daripada bahan mentah dan reka bentuk kepada penghasilan bateri siap dalam struktur kereta. – AFP

Gambar fail menunjukkan kereta elektrik Tesla diletak di kawasan simpanan di The Western Docks di Southampton. Tesla berkata ia akan mengurangkan kos bateri untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. – AFP