LOS ANGELES, 20 NOV – Tesla telah menarik balik lebih 300,000 kenderaan di Amerika Syarikat (AS) disebabkan kerosakan perisian yang mencetuskan lampu belakang tidak menyala, sekali gus menambah risiko pelanggaran.
Tesla berkata dalam dokumen yang disiarkan semalam oleh Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Negara AS bahawa kerosakan itu mungkin menjejaskan satu atau kedua-dua lampu bagi Model 3 dan Model Y. Lampu brek dan lampu isyarat tidak terjejas oleh masalah perisian itu, menurut syarikat.
Pengeluar kereta itu berkata ia akan mengeluarkan pengemaskinian perisian dalam talian untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Penarikan balik membabitkan Model Y SUV tertentu dari 2020 hingga 2023 dan kenderaan sedan Model 3 2023. Ia membawa jumlah kenderaan yang terbabit kepada 321,628.
Tesla menyedari mengenai masalah itu pada bulan lalu selepas menerima aduan, kebanyakannya daripada pelanggan di luar AS, bahawa lampu belakang kenderaan mereka tidak menyala. Siasatan dalam masalah tersebut selesai pada awal bulan ini.
Pemilik kenderaan akan dimaklumkan menerusi surat bermula 14 Januari depan. Syarikat berkata dalam dokumen bahawa kenderaan yang dikeluarkan dan yang dijangka dihantar telah menerima pengemaskinian pada 6 November.
Setakat 14 November, Tesla telah menerima tiga tuntutan waranti disebabkan masalah tersebut, namun tidak menyedari mengenai sebarang nahas atau kecederaan berkaitan dengan kerosakan itu, menurut dokumen. – AP