Tetap beroperasi walau terkesan COVID-19

SAN FRANCISCO – Tiga orang pelanggan mengunjungi Golden Gate Fortune Cookie Factory di Chinatown San Francisco dan dua pembelian dilakukan pada hari Jumaat lalu, hari pertama perniagaan selepas California melaksanakan perintah berkurung untuk membendung penyebaran wabak koronavirus.

Seorang pelanggan muda membayar AS$3 dolar untuk satu kotak biskut Fortune yang berharga AS$2.5. Sebagai balasan, Kevin Chan, pemilik kedai, mengambil satu lagi pek dari rak dan memberikannya secara percuma. “Ini bukan masa untuk membuat wang, terima kasih kerana menyokong saya dalam masa yang sukar,” katanya.

Biskut Fortune adalah biskut yang ranggup dan manis dengan nota kecil ramalan tuah di dalamnya. Ia sering dihidangkan sebagai pencuci mulut di restoran Cina di Amerika Syarikat.

Sejak penyebaran COVID-19 di Amerika Syarikat, industri masa lapang di San Francisco, yang digunakan untuk menarik kira-kira 26 juta orang pengunjung dengan perbelanjaan AS$10 bilion setiap tahun, telah menurun secara dramatik.

Chinatown terbesar dan tertua di negara ini telah terjejas dengan kemerosotan teruk jumlah kedatangan pelancongan, tetapi Golden Gate Fortune Cookie Factory telah menegaskan untuk terus menghasilkan dan menjual produk itu.

Kevin Chan merupakan pemilik Golden Gate Fortune Cookie Factory yang diwarisi daripada ibunya. – Xinhua
Kevin Chan duduk menanti pelanggan di kedainya di Chinatown San Francisco, California. Wabak koronavirus mengakibatkan kedainya lengang, tidak dikunjungi pelanggan. – Xinhua
Kevin Chan berbual dengan pelanggan yang mengunjungi kedainya. – Xinhua
Sebelum penularan wabak COVID-19 suasana kedai Chan dipenuhi dengan ramai pelanggan sehingga pernah berbaris di sudut jalan. – Agensi

“Perniagaan tidak pernah menjadi bermasalah selama ini, saya telah menjual hanya dua kotak biskut Fortune dalam tempoh dua bulan dari 26 Januari lalu hingga sekarang. Pada kebiasaannya 10 kotak dapat dijual pada hari biasa,” kata Chan sambil menambah bahawa para pelanggan pernah berbaris di sudut jalan sebelum wabak virus, tetapi sekarang mereka semua hilang.

“Kami menghentikan ketiga-tiga mesin pembuatan biskut di kedai ini, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami telah mengalami banyak masa yang sukar seperti gempa besar di Bay Area, susulan peristiwa serangan 11 September dan krisis ekonomi pada tahun 2008. Kami tidak pernah menutup semuanya.”

Bekas datuk bandar San Francisco, Willie Brown menulis dalam sebuah artikel dengan penuh emosi, “Saya mengendalikan San Francisco selepas peristiwa 11 September. Saya telah menangani gempa bumi, saya telah menangani serangan dari pengganas… Ini lebih buruk.”

Pesara polis Roland Wing, kawan kepada Chan, datang ke kedai kerana kebimbangannya kerana Chan tidak menjawab telefonnya pagi Jumaat lalu.

“Anda pelanggan kedua saya hari ini,” Chan berjenaka.

“Jadi apa yang perlu saya beli? Anda beritahu saya, saya akan membelinya,” Wing membalas dengan berjenaka iuga.

“Tidak, saya tidak mahu wang daripada kawan-kawan saya,” kata Chan.

Apabila mengucapkan selamat tinggal, mereka berlaga bahu dan menendang kaki berbanding berjabat tangan seperti kelazimannya. Mengikut perintah berkurung di San Francisco, hanya perniagaan penting seperti pasar raya, farmasi, stesen minyak, dobi dan bank akan dibenarkan untuk dibuka, dan orang ramai harus mengekalkan jarak sosial sekurang-kurangnya enam kaki (1.8 meter) ketika berada di luar.

“Ibu mewariskan perniagaan berusia 58 tahun itu kepada saya, dia tidak pernah berhenti bekerja walau sehari dan saya tidak mahu kedai itu ditutup di tangan saya walau sehari,” kata Chan.

“Saya sentiasa berjuang, bukan jenis pertempuran yang sama ketika saya sibuk dengan perniagaan, saya tidak mahu koronavirus menjatuhkan saya, untuk menutup kedai,” tambahnya.

Golden Gate Fortune Cookie Factory telah dinamakan sebagai Perniagaan Legenda San Francisco pada tahun 2016, dan pada 8 Jun 2018, bandar itu mengumumkan kedai itu sebagai ‘Golden Gate Fortune Cookie Company Day.’

“Ia bukan sekadar mata pencarian untuk saya tetapi komitmen kepada ibu saya dan masyarakat,” katanya Chan sambil melihat gambar selebriti yang pernah berkunjung, terpampang di dinding kedainya.

“Biskut Fortune adalah satu cara untuk menyatakan tuah, untuk mengeratkan perhubungan dan membuat mereka bahagia.

“Lebih penting lagi bagi kita untuk membawa sikap positif di tengah-tengah pandemik koronavirus. Saya tidak boleh menyerah terlebih dahulu jika saya ingin membawa tuah kepada orang, tidak akan menyerah, tidak kira betapa seriusnya wabak itu dan menjalani kehidupan yang sihat dan bahagia. Saya rasa kedai saya seperti lampu, saya tidak akan membiarkannya terpadam walau sehari,” kata Chan.

Seorang pelanggan yang dipanggil sebagai Jerry berhenti di kedai Chan dan membeli satu pek biskut Fortune dengan harga AS$5.25. Dia bercakap tentang pandemik COVID-19 dengan Chan, dan mereka berdua marah terhadap kenyataan ‘virus China’ oleh Presiden AS, Donald Trump.

“Ini sangat salah, sangat gila. Wabak ini boleh berlaku di mana saja di dunia ini, di Arizona atau British Columbia,” kata Jerry, yang tidak bersetuju dengan idea menghubungkan virus itu dengan mana-mana negara atau etnik.

“Koronavirus adalah satu cabaran yang dihadapi di seluruh dunia dengan asalnya yang masih tidak ditentukan dan tidak diyakinkan,” kata Chan. Beliau percaya bahawa xenophobia dan perkauman tidak adil atau bijak.

“Ini adalah peluang untuk China dan AS bekerjasama menghapuskan virus dan memberi manfaat kepada dunia.”

“China telah mencatatkan kemajuan besar sejak 40 tahun yang lalu sejak pembaharuan dan pembukaannya. Ia telah berjaya mengekang penyebaran pandemik COVID-19… Sekarang China membantu negara-negara lain membendung penularan wabak ini,” kata Chan, dan menambah fitnah tidak dapat menutup cahaya ‘kebajikan China’ yang terpapar.

“Perolehan hari ini ialah AS$8.25,” Chan tersenyum pada penghujung hari.

“Tetapi ia adalah perkara-perkara yang tidak ternilai dan penting yang perlu dipegang.” – Xinhua