Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Tetap komited cipta poster lukisan tangan

    NEW YORK – Selama bertahun-tahun, Miguel dan Carlos Cevallos menyara kehidupan dengan melukis poster untuk kelab-kelab malam, trak-trak taco dan restoran-restoran di kejiranan mereka di Queens, mereka melakukannya di tingkat bawah tanah perusahaan-perusahaan tersebut atau di atas meja mereka dan menarik pelanggan melalui perkhabaran mulut ke mulut.

    Sehinggalah sebuah akaun Instagram mengubah kebanyakan daripadanya.

    Kini, kedai-kedai ais krim Brooklyn dan kedai-kedai makan retro Manhattan menunggu giliran mereka untuk mendapatkan hasil kerja adik-beradik itu.

    Terdapat banyak permintaan bagi khidmat mereka di kedai muzik San Francisco, rangkaian restoran kebangsaan, bar-bar di Belgium dan kedai-kedai roti di Korea Selatan.

    Tidak kiralah adik-beradik itu sudah berusia lebih 80 tahun atau yang keduanya itu, lahir di Ecuador dan dibesarkan di Colombia, tidak petah berbahasa Inggeris. Mereka mengalu-alukan pelanggan-pelanggan baharu mereka dan melukis sepanjang hari di apartmen yang mereka kongsi selama hampir 20 tahun di Manhattan.

    Carlos Cevallos (kiri) dan Miguel Cevallos, ketika ditemui pemberita di New York. – AP
    Dua beradik menunjukkan salah satu poster yang dibuat oleh mereka. – Agensi
    Marina Cortes, pengurus restoran La Bonbonniere, menunjukkan kalendar yang dicipta oleh Miguel dan Carlos Cevallos. – AP
    Poster ciptaan dua beradik, Miguel dan Carlos Cevallos, dipamerkan di restoran La Bonbonniere. – AP
    Antara poster lukisan tangan Miguel dan Carlos Cevallos. – Agensi

    “Beginilah takdir. Kadang-kadang seseorang itu akan menemukan kejayaan pada usia lanjut,” kata Carlos Cevallos baru-baru ini, ketika menghirup teh di sebuah kedai makan yang kosong di Manhattan. Dengan berpakaian sut dan tai, adik-beradik itu berkongsi seketul mufin.

    Tempahan-tempahan terbaharu mereka datangnya dari sebuah kedai begal di kejiranan Little Italy di Manhattan, sebuah gerai surat khabar di West Village Manhattan, sebuah rangkaian restoran yang berpangkalan di Oregon dan sebuah kedai burger di Los Angeles. NYCgo, panduan rasmi bandar untuk para pelancong dan orang-orang New York, baru-baru ini telah meminta mereka untuk melukiskan Unisphere yang ikonik di Queens, sebuah glob logam gergasi yang dibuat untuk World’s Fair 1964.

    “Mereka mempunyai sentuhan yang istimewa, sangat cantik dan berwarna-warni,” kata Marina Cortes, pengurus kedai makan La Bonbonniere di West Village. Papan tanda “Sarapan sepanjang hari!” yang dihasilkan oleh adik-beradik itu terpapar di teres restoran tersebut.

    ‘Kehidupan Tanpa Sesuatu yang Baik, adalah Buruk’ tertera pada poster yang dilukis untuk Van Leeuwen Ice Cream. “Istimewa Harian. Pilih Mana-mana Dua Sandwic dan Bayar untuk Keduanya!” tertera pada satu lagi poster yang mereka hasilkan untuk Regina’s Grocery di Lower East Side, Manhattan.

    Dihasilkan menggunakan cat akrilik, poster-poster riang, keanak-anakan adik-beradik Cevallos itu mempunyai huruf-huruf besar dan kelihatan nostalgik. Lukisannya dihasilkan oleh Miguel manakala Carlos pula mewarnakannya, kedua-dua mereka mampu menghasilkan kira-kira enam buah poster setiap minggu.

    Adik-beradik itu menerima antara lima ke 20 tempahan setiap minggu. Keluarga tersebut telah berpindah dari Ecuador ke Colombia untuk mengikut bapa saudaranya yang merupakan seorang paderi Katolik dan bertugas di Bogota. Sudah biasa melukis sedari kecil lagi, Carlos, Miguel dan abang sulung mereka, Victor, membuka sebuah studio seni dan kedai poster di kejiranan Chapinera, Bogota.

    Victor berpindah ke New York pada 1969, dan Carlos menyertainya pada 1974. Selama beberapa tahun, mereka bekerja di sebuah studio di Times Square sehinggalah harga sewa meningkat

    memaksa mereka untuk berpindah ke Queens. Pada tahun 1980an, mereka melukis poster-poster yang mengumumkan persembahan-persembahan di sebuah kelab di Queens yang bernama La Esmeralda.

    “Mereka hanya membayar sedikit sahaja untuk setiap poster. Ia menyedihkan,” ujar Carlos. Poster-poster itu menampilkan artis-artis seperti penyanyi Mexico, Armando Manzanero dan Lucho Gatica dari Chile. Miguel, sementara itu, menjaga ibu mereka sehinggalah ibu mereka meninggal dunia pada usia 101 tahun. Dia berpindah ke New York pada 2005 untuk menyertai adik-beradiknya. Victor, yang menjadi mentor kepada kedua-dua adiknya, meninggal dunia pada 2012.

    Akhirnya, Aviram Cohen, yang membangunkan dan memasang seni audiovisual di muzium-muzium, terlihat poster-poster adik-beradik itu di Queens dan mencari keberadaan mereka untuk menempah poster bagi studio yoga baharu isterinya. Pada tahun 2018, dia membukakan akaun Instagram untuk adik-beradik itu, yang menjadi talian hayat mereka setelah pandemik koronavirus melanda.

    “Saya melakukannya kerana mengagumi hasil kerja mereka, dan setelah bertemu mereka, saya memahami yang semua itu boleh hilang. Kebanyakan perusahaan akan membuang poster-poster mereka,” kata Cohen, 42. “Saya sangat yakin bahawa pelbagai jenis orang dan sub budaya boleh menikmati seni mereka.”

    Jangkaannya tepat. Akaun tersebut kini mempunyai lebih daripada 25,000 pengikut dan menjadi arkib hasil kerja mereka, serta menjadi sumber tempahan-tempahan.

    “Saya menyukai kisah mereka,” kata Happy David, yang menguruskan akaun Instagram untuk La Bonbonniere and Casa Magazines, sebuah gerai akhbar yang turut menempah hasil kerja adik-beradik itu. Ia mengingatkannya kepada papan-papan tanda yang dilihatnya di tanah airnya Filipina. Dalam dunia digital, “ramai yang kembali kepada hasil tangan. Kita mahu berhubung, dan kita mahu merasakan adanya tangan-tangan yang menghasilkan ini,” kata David

    Apabila ditanya sama ada mereka merancang untuk bersara tidak lama lagi, adik-beradik Cevallos itu dengan pantas menjawab ‘tidak’.

    “Dari manakah mereka mendapat tenaga mereka? Kami makan makanan sihat,” balas mereka dengan senyuman. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...