Tetap optimis jalani perniagaan meski alami kecacatan

ACCRA – Di sebuah negara di mana orang kurang upaya (OKU) kebanyakannya meminta sedekah di jalan-jalan untuk meneruskan kelangsungan hidup, Joseph Odey Mensah mengubah naratif untuk menjadi seorang usahawan dan bertekad membuat pencapaian besar dalam Industri pembuatan kasut di Ghana.

Bersama syarikatnya, Hope for Disabled Leather Works, yang terletak di Teshie, Accra, ibu kota Ghana, Odey Mensah mendirikan perniagaan pembuatan kasut dan membuat sendiri sandal Birkenstock, sandal untuk pelajar, dan sandal kulit kasual untuk lelaki dan wanita.

Kakinya lumpuh sejak berusia tiga tahun dan usawahan berusia 59 tahun itu memberitahu Xinhua dia menubuhkan syarikat itu 37 tahun yang lalu setelah berhenti sekolah dan menjalani latihan di Pusat Rehabilitasi Accra pada tahun 1982.

“Saya tidak mahu menjadi beban kepada keluarga dan masyarakat, jadi saya memutuskan untuk melatih diri dan menjadi usahawan daripada meminta-minta di jalanan seperti kebanyakan rakan OKU saya,” kata Odey Mensah.

“Saya percaya dapat hidup berdikari dan perlu memberi contoh kepada golongan OKU lain untuk bekerja keras dan memperoleh kehidupan yang baik daripada bergantung pada orang lain.”

Gambar menunjukkan sandal-sandal yang dibuat oleh Joseph Odey Mensah. – Xinhua
Joseph Odey Mensah membuat sandal di bengkelnya di Accra, Ghana. – Xinhua

Bapa kepada lima orang anak itu menjaga keluarganya dengan baik hasil perniagaan pembuatan kasut dan bekerja keras untuk mengembangkan perdagangan di ibu negara dan sekitarnya.

“Semua orang diciptakan dengan potensi dan selalu ada maruah dalam bekerja untuk memenuhi keperluan diri sendiri daripada merendahkan diri untuk mengemis di jalanan,” kata lelaki itu.

“Saya mampu menghasilkan lima pasang sandal setiap hari dan dapat menjana pendapatan yang lumayan untuk mengurus pendidikan anak-anak, memelihara keluarga serta golongan OKU lain yang kadang-kadang saya bantu.”

Ghana mewajibkan setiap penduduknya untuk memberikan sedikit pendapatan mereka bagi pembangunan negara dan mendirikan perniagaan adalah sebagian dari upaya untuk mendorong pertumbuhan terutama di sektor swasta, katanya.

Perniagaan tersebut memberikan cabaran kepada Odey Mensah kerana dia memerlukan sokongan kewangan dan logistik yang mencukupi untuk memperluas dan mengupah orang lain bagi memperoleh pendapatan yang lumayan.

“Saya mempunyai lebih 80 orang pekerja di bawah yayasan ‘Hope for Disabled Persons’ dan berniat untuk mengupah mereka untuk mengelakkan membahayakan nyawa mereka di jalanan,” kata Odey Mensah, menyeru kerajaan untuk menyediakan dana sekurang-kurangnya tiga peratus untuk golongan OKU bagi membantu mereka mendirikan perniagaan baharu seperti syarikatnya untuk mengambil lebih ramai orang.

“Peruntukan itu adalah sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi pada hakikatnya, kami tidak menerima dana dan juga berjuang untuk mendapatkan kereta yang dilelong oleh kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pendapatan Ghana (GRA) untuk membantu mengedarkan sandal ke seluruh negara,” kata Odey Mensah.

“Dengan sokongan yang tepat, saya dapat memperoleh lebih banyak bahan mentah untuk dihasilkan dalam jumlah yang besar dan diedarkan ke seluruh negara daripada hanya bergantung pada bilik pameran kecil saya.”

Dia juga meminta orang ramai untuk tidak menolak pekerja OKU dan menganggapnya sebagai aset bagi masyarakat sambil menyeru OKU untuk berhenti mengemis di jalanan kerana dapat membahayakan nyawa mereka. – Xinhua