Tetap patuhi SOP semasa Program Bandarku Ceria

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Meskipun suasana Program Bandarku Ceria pada minggu kedua, hari ini, kelihatan masih lagi belum semeriah sebelum penularan wabak COVID-19, namun sebahagian pengunjung yang datang melahirkan rasa gembira kerana dapat berpeluang melakukan riadah dan menghirup udara segar di pusat bandar itu.

Salah seorang pengunjung warga emas yang ditemui di ibu negara pada pagi tadi, Hajah Ahmidah binti Abd Ghani, 63 tahun, menzahirkan rasa syukur apabila berpeluang untuk melakukan riadah berjalan kaki bersama keluarga beliau semasa Program Bandarku Ceria tersebut.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat melakukan riadah ringan di pusat Bandar Seri Begawan setelah beberapa bulan yang lalu di mana negara berhadapan dengan gelombang kedua penularan COVID-19.

“Bagaimanapun, kami sentiasa mengamalkan langkah dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat terjamin semasa berkunjung ke ibu negara pada hari ini,” tambah beliau lagi.

Program Bandarku Ceria yang mula diperkenalkan sejak Oktober 2016, yang dihasrat untuk kesejahteraan setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara yang menjurus ke arah kualiti kehidupan yang tinggi selaras dengan Wawasan Brunei 2035 diadakan semula mengikut Garis Panduan Fasa Peralihan Bagi Kemudahan dan Aktiviti Bagi Kecergasan dan Rekreasi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Program itu juga terhad kepada aktiviti riadah yang dilakukan secara individu atau di dalam jumlah kumpulan dihadkan. Manakala aktiviti berjaja adalah masih ditiadakan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Antara garis panduannya ialah pengunjungnya harus melengkapkan dua dos vaksin, mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning; aktiviti berkumpulan tidak melebihi 15 orang, memakai pelitup muka setiap masa kecuali ketika melakukan senaman atau kegiatan fizikal dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal.

Sementara itu, antara jalan yang ditutup semasa Bandarku Ceria yang bermula pada jam 6 pagi sehingga 10 pagi adalah seperti Jalan McArthur; Jalan Pemancha; Jalan Pretty; Jalan Robert; Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien; Jalan Elizabeth II; Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien; Jalan Haji Basir; Jalan Stoney; Jalan Sekolah; Jalan Kumbang Pasang; dan Jalan Perdana Menteri sehingga Pusing Keliling berdekatan Jabatan Perdana Menteri.

Hajah Ahmidah semasa ditemu bual pada Program Bandarku Ceria di ibu negara.