Tetap tegar hias rumah dengan jalur gemilang

JOHOR BHARU – Meskipun Hari Kebangsaan tahun ini dirai dalam suasana berbeza berikutan penularan pandemik COVID-19, seorang pengusaha kayu di sini tetap setia meneruskan tradisi menghias rumahnya dengan ratusan Jalur Gemilang bagi membuktikan rasa cintanya terhadap negara.

Hassri Abdul Kadir, 53, berkata minat mendekorasi rumahnya itu terbit sejak enam tahun tahun lalu kerana merasakan kibaran bendera kebangsaan membuatkannya berasa bangga, megah dan gembira menjadi anak jati Malaysia.

“Mungkin disebabkan minat dan mengenang jasa orang lama berjuang mendapatkan kemerdekaan maka saya terdetik untuk pasang bendera dalam jumlah yang banyak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendahara di sini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata beliau dibantu ahli keluarga setiap tahun sebelum tibanya sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, sama ada dalam bentuk kewangan atau sokongan moral untuk menghias rumah.

Katanya, selain memasang Jalur Gemilang, beliau juga menggunakan kreativitinya membina replika bangunan KLCC menggunakan dawai yang dibaluti bendera berkenaan.

Hassri Abdul Kadir membina replika Menara Berkembar Petronas menggunakan Jalur Gemilang. – Bernama
Pengusaha kayu persendirian Hassri Abdul Kadir bersama anggota keluarga di hadapan kediaman mereka yang dihiasi ratusan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63. – Bernama

Selain itu beliau turut mengetengahkan poster yang mengabadikan wajah perwira negara seperti polis dan tentera, doktor dan jururawat, menteri dan juga Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam dekorasinya bagi menzahirkan penghargaan kepada mereka yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat negara ini.

“Selagi saya sihat, saya akan teruskan tradisi ini dan Insya-Allah, saya akan didik anak-anak saya memasang bendera walau hanya dengan satu bendera sahaja,” katanya yang memperuntukkan kira-kira RM200 untuk persiapan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Hassri berkata beliau mengamati kemerdekaan sebagai satu bentuk kebebasan yang bersempadan tanpa kekacauan.

Oleh itu, beliau menyifatkan mencintai negara juga bukan hanya bermaksud memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain atau menghormati kepelbagaian bangsa dan agama, sebaliknya turut meliputi soal menjaga Jalur Gemilang.

“Saya berharap masyarakat menghormati dan menghargai Jalur Gemilang sebagai bendera kebangsaan negara dan tidak diperlakukan secara salah …kenakan hukuman berat terhadap mereka  tidak menghormati bendera Malaysia, tidak menghormati perlembagaan negara Malaysia,” katanya. – Bernama