Tetap tenang meski akaun disalah guna

Meskipun ada individu tidak bertanggungjawab membuka akaun Instagram palsu menggunakan nama Kaklinapompom dan menyamar sebagai Elly Mazlein, namun aktres itu tenang memberi respons mengenai perkara itu.

Elly berkata dia tidak kisah sekiranya individu tersebut meminatinya tetapi berasa hairan apabila akaun tersebut diwujudkan sebagai akaun kedua miliknya.

“Cara dah betul sangat meminati saya. Saya bersyukur sangat tapi tulisan back up account yang tak menahan itu macam sesuatu di situ,” kata Elly menerusi laman Instagramnya pada kelmarin.

Rata-rata warganet memuji cara Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, berhadapan dengan situasi tersebut.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri popular Kampung People itu turut mendedahkan dia ada menerima mesej daripada peminat yang menghantar paparan skrin akaun Twitter serta TikTok menggunakan nama Elly Mazlein.

Penyanyi berusia 40 tahun juga menegaskan dia tidak mempunyai sebarang akaun laman sosial tersebut dan menganggap perkara itu bukan satu isu yang besar.

“Di Twitter juga dia ada. Ya orang yang sama. Tak apa asalkan dia gembira. Semua akaun dia buat palsu guna nama saya. TikTok pun dia buat juga. Saya tak ada Twitter, tak ada FB dan tak ada akaun TikTok.

“Terima kasih semua yang DM beritahu perkara ini. Salam Ramadan. Dah tak payah pening-pening perkara kecil punya hal. Akaun media sosial saja pun. Sebarkan kebahagiaan,” ujarnya. – Agensi

Elly Mazlein tidak kisah sekiranya individu tersebut meminatinya tetapi berasa hairan apabila akaun tersebut diwujudkan sebagai akaun kedua miliknya. – Agensi