Tetap waspada dan jangan alpa dengan wabak

Dalam tempoh beberapa hari ini, kadar jangkitan baharu wabak COVID-19 di negara kita menunjukkan penurunan. Dengan kadar begini berkemungkinan kita akan berada di fasa endemik COVID-19 mengikut negara-negara jiran yang lain dan memulakan kehidupan seperti biasa.

Namun, meskipun kadar jangkitan menunjukkan penurunan bukanlah menjadi alasan kepada orang ramai untuk alpa dengan jangkitan wabak ini. Di mana, rata-rata daripada pengamatan saya masyarakat di negara kita sudah mula berani untuk berjalan ke sana sini, memenuhi kedai-kedai dan ada yang tidak begitu hirau dengan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh pihak kerajaan.

Kenapa perlu leka dan melakukan sedemikian rupa? Adakah awda sudah merasa selamat? Adakah menurut awda dengan mendapatkan dua dos suntikan vaksin sudah memadai menghindarkan diri daripada jangkitan? Tolong buang pemikiran begitu kerana jangkitan wabak ini boleh saja meningkat semula disebabkan kelalaian kita sendiri. Ingat meskipun jangkitan baharu sudah berkurangan bukan bererti keadaan sudah cukup selamat dan anggaplah negara kita masih di bawah ancaman virus.

Sila patuhi arahan kerajaan untuk melakukan SOP ketika berada di luar rumah dan sentiasa memastikan diri dalam keadaan bersih bagi menghindari sebarang jangkitan. Elakkan membawa kanak-kanak dan warga emas keluar rumah dan hanya keluar bila ada perkara penting yang hendak dilakukan.

Ingat SOP