Tetapkan matlamat pendapatan persaraan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Dalam meneruskan lagi usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan persaraan, Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah mengadakan Jerayawara ‘10 Years Towards Retirement’ di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, jerayawara merupakan inisiatif berterusan yang disasarkan kepada ahli-ahli TAP yang akan bersara dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang.

Semasa jerayawara itu, TAP antara lain mengongsikan beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan dalam membuat perancangan persaraan seperti menetapkan matlamat pendapatan persaraan dengan mengenal pasti keperluan semasa bersara nanti dan tindakan yang perlu diambil sekarang bagi mencapai matlamat berkenaan.

TAP turut menerangkan mengenai Caruman Sukarela yang membolehkan ahli menambah simpanan ke dalam skim TAP dan SCP untuk meningkatkan lagi jumlah simpanan bagi kegunaan persaraan nanti.

Di samping itu, TAP juga mengongsikan mengenai aplikasi mudah alih TAP Brunei di mana ahli boleh membuat perkiraan anggaran simpanan TAP dan SCP mereka setelah bersara serta mengetahui anggaran simpanan yang diperlukan berdasarkan pendapatan persaraan yang diinginkan.

Jerayawara diteruskan dengan taklimat mengenai Perancangan Kewangan yang disampaikan oleh pakar perancang kewangan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang menyentuh mengenai gaya hidup dan kepentingan memiliki perancangan yang teratur menggunakan kaedah-kaedah yang bersesuaian seperti simpanan, perlindungan kewangan dan pelaburan.

Jerayawara juga disertai oleh Unit Biro Kredit dan Unit Isu Pengguna Kewangan daripada Autoriti Monetari Brunei Darussalam dengan menyediakan perkhidmatan Laporan Kredit dan Konsultasi serta pemberigaan bagi mengenali dan menghindari penipuan-penipuan kewangan.

Kenyataan menyatakan, jerayawara serupa akan diteruskan lagi bagi ahli-ahli TAP dalam kumpulan sasaran yang sama pada masa akan datang.

Orang ramai khususnya ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai jerayawara tersebut atau apa-apa maklumat mengenai TAP bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel [email protected]