Teuns rembat jersi kuning

CRAPONNE-SUR-ARZON, 11 JUN – Penunggang Bahrain-Merida, Dylan Teuns memastikan pendahuluan keseluruhan Criterium du Dauphine selepas menewaskan Guillaume Martin dari Perancis dalam satu pecutan penamat yang dramatik pada peringkat kedua perlumbaan.

Teuns dan Martin dari pasukan Wanty-Gobert menamatkan 13 saat di depan peloton, termasuk Chris Froome, yang mengintai rekod empat kemenangan keseluruhan pada perlumbaan itu.

Teuns, 27, merampas jersi kuning daripada penunggang dari Norway Edvald Boasson Hagen, yang memenangi peringkat pembukaan namun ketinggalan 1 minit dan 48 saat pada peringkat kedua.

“Di akhir perlumbaan ia berjalan lancar dengan Guillaume Martin. Saya perlu berterima kasih kepadanya. Kami bertahan dengan baik,” kata Teuns.

“Saya sudah menunggu kemenangan ini selama setahun setengah, saya kerap menamatkan perlumbaan di tempat kedua atau ketiga, kebanyakannya di Vuelta. Saya bangga untuk menyarung jersi kuning ini.

“Esok saya mempunyai peluang kerana ia kelihatannya mudah sedikit. Pada uji masa keesokannya, saya akan memberikan segala-galanya untuk mengekalkannya,” tambahnya. – AFP

Dylan Teuns meraikan kejayaannya dengan menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan di akhir perlumbaan peringkat kedua Criterium du Dauphine. – AFP