Texas batal pembukaan semula ekonomi

HOUSTON, 26 JUN – Texas semalam menghentikan sementara tindakan untuk membuka semula ekonominya selepas peningkatan mendadak dalam kes koronavirus, apabila Amerika Syarikat (AS) mencatat kadar jangkitan tertinggi sejak pandemik bermula.

Dua puluh sembilan negeri kini mengalami pertambahan kes baharu, dengan lebih 37,667 kes baharu dicatat semalam, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) – tahap yang menghampiri rekod baharu – dan 692 kematian baharu dilaporkan.

Dalam tanda-tanda keseriusan situasi, Naib Presiden Mike Pence mengumumkan pasukan petugas koronavirus Rumah Putih akan mengadakan sidang media hari ini di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, yang pertama dalam hampir dua bulan.

Texas adalah antara negeri paling agresif dalam membuka semula ekonomi pada awal Jun selepas lockdown berbulan lamanya, di mana pemimpinnya yakin ia berjaya mengawal pandemik paling teruk yang meragut hampir 122,000 nyawa di AS, jumlah tertinggi di dunia setakat ini.

“Negeri Texas akan menghentikan fasa seterusnya untuk membuka Texas tatkala negeri bertindak terhadap peningkatan kes positif COVID-19,” umum pejabat Gabenor Greg Abbott dalam satu kenyataan.

“Perkara terakhir yang ingin kami lakukan adalah kembali menutup perniagaan.

“Penutupan sementara ini akan membantu negeri kami memperlahankan penularan,” kata Abbott, meminta semua penduduk supaya memakai penutup mulut dan hidung serta mematuhi garis panduan penjarakan sosial.

Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Negeri Texas melaporkan 5,596 kes koronavirus baharu semalam, pertambahan besar berbanding 10 hari lalu, apabila negeri hanya mencatat 1,254 kes baharu sehari. – AFP