Texas lulus undang-undang senjata api

WASHINGTON, 17 JUN – Gabenor Greg Abbott menandatangani satu rang undang-undang semalam yang membenarkan penduduk Texas membawa senjata api di tempat awam tanpa permit,

yang terbaharu dalam beberapa siri langkah untuk mengembangkan hak pemilikan senapang di negeri Amerika Syarikat (AS).

Undang-undang itu, yang diluluskan di Senat dan Dewan Perwakilan negeri pada bulan lalu, akan membenarkan sesiapa yang berusia 21 tahun ke atas yang tidak dilarang daripada memiliki senjata api untuk membawanya di tempat awam tanpa permit.

Menurut HB1927, perlembagaan AS dan Texas membenarkan rakyat membawa senjata dan dengan itu tidak harus adanya halangan untuk membawa senjata sedemikian. Penyokong undang-undang, yang akan berkuat kuasa pada 1 September, menggelar langkah tersebut mematuhi perlembagaan.

Abbott dijangka mempengerusikan majlis menandatangani undang-undang pada pagi Khamis, menurut akhbar Texas Tribune. Abbott sebelumnya berkata beliau akan menandatangani rang undang-undang jika ia diluluskan dewan perundangan negeri.

“Ia merupakan sesuatu yang telah diluluskan oleh 20 negeri lain dan sudah tiba masanya untuk Texas meluluskannya juga,” beritahu Abbott kepada stesen radio WBAP pada April. –AFP