TFC hasrat sambung kontrak Faisal Halim

KUALA NERUS, 10 JUN – Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd berminat untuk menyambung kontrak pemain sayap kebangsaan Malaysia, Faisal Halim, yang bakal tamat pada 30 November ini.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rasid Jusoh yang berharap, akan dapat terus menggunakan khidmat pemain kelahiran Pulau Pinang itu, untuk musim akan datang.

“Kami di pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan memang sepakat dan berhasrat untuk melanjutkan kontrak Faisal untuk musim akan datang.

“Faisal adalah pemain yang penting untuk TFC, jadi kita harap beliau dapat kekal bersama pasukan hitam putih pada musim akan datang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Kedua (Away) Kit TFC 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil. 

Jersi kedua TFC yang berwarna hitam diinspirasikan daripada bekas pemain bola sepak Terengganu, Ashari Samsuddin yang dikenali dengan gelaran Silent Killer.

Bagaimanapun Abdul Rasid berkata pihaknya masih belum menerima jawapan daripada Faisal yang ketika ini sedang bersama dengan pasukan Harimau Malaya, untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2023. – Bernama