TFC ingin kekal rekod tanpa kalah

KUALA TERENGGANU, 9 NOV – Terengganu FC (TFC) berazam mengekalkan rekod bersih tanpa kalah menentang Kuching City FC (KCFC) bagi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri Sarawak esok.

Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata walaupun sudah mengesahkan tempat di suku akhir dan menduduki takhta teratas kumpulan, ia bukan alasan untuk anak buahnya bermain sambil lewa dan memberi kemenangan mudah kepada skuad The Cats.

Sebaliknya, beliau akan memastikan momentum kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini diteruskan sehingga aksi terakhir kumpulan menentang pasukan bekas gurunya yang juga jurulatih paling senior di Liga Malaysia, Irfan Bakti Abu Salim.

“Misi kami ke Kuching adalah untuk menang. Sudah tentu saya berasa teruja setiap kali bertemu ‘sifu’ (Irfan Bakti) kerana kami mempunyai hubungan baik sejak dulu dan sering bertukar-tukar pendapat.

“Tetapi skuad Penyu juga tidak rela rekod bersih tanpa kalah yang kami usahakan tercalar, lebih-lebih lagi di hadapan penyokong lawan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata beliau tidak akan bergantung kepada tonggak yang sama dan akan membuat perubahan pemain di Kuching bagi memastikan semua anak buahnya mendapat minit permainan yang setara. Katanya, beberapa pemain yang sudah beraksi di Selangor kelmarin akan direhatkan dan peluang akan diberi kepada rakan sepasukan lain yang masih kurang minit permainan di atas padang.

“Bagaimanapun, di barisan pertahanan, kita tetap akan turunkan Argzim (Argzim Redzovic) kerana Carli (Carli De Murga) masih cedera dan akan ambil masa untuk pulih,” katanya yang mahu memberi fokus kepada perlawanan terakhir kumpulan sebelum memikirkan lawan di peringkat suku akhir mengikut format kalah mati. – Bernama