TFC intai tempat kedua liga

KUALA NERUS, 5 SEPT – Tewas tipis 0-1 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim semalam tidak menutup impian Terengganu FC (TFC) untuk mengakhiri saingan musim ini di tempat kedua sekali gus merebut slot ke kejuaraan Piala AFC tahun depan.

Malah ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain enggan menekan butang panik walaupun menyedari sedang berdepan saingan sengit dengan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC.

“Peluang masih terbuka. Yang penting kita kena menang di perlawanan akhir dengan Penang FC pada 14 Sept depan. Kami terlalu banyak melepaskan peluang dari segi mata dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya selepas perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam tadi. Gol tunggal JDT yang meranapkan misi TFC untuk mengutip tiga mata berharga dijaringkan oleh pemain import kelahiran Australia, Shane Lowry.

Selepas 21 perlawanan, TFC kini menghuni tangga ketiga liga dengan 37 mata di belakang KDA FC (39 mata) dan diekori rapat oleh Penang FC di tempat keempat juga dengan 37 mata. – Bernama