Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    TFC lega Rahadiazli bebas kecederaan

    KUALA TERENGGANU, 4 SEPT – Pasukan Terengganu FC (TFC) boleh menarik nafas lega selepas penjaga gol utamanya, Rahadiazli Rahalim (gambar) yang cedera dan pengsan ketika perlawanan Liga Super menentang Melaka United FC malam tadi disahkan bebas daripada kecederaan serius.

    Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata keadaan penjaga gol skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu kini semakin stabil dan telah sedar sepenuhnya.

    Malah beliau juga telah dipindahkan dari wad kecemasan ke wad biasa selepas pemeriksaan mendapati tiada sebarang pendarahan dalaman atau keretakan di mana-mana bahagian badan mahupun kepalanya.

    “Insiden tersebut sememangnya mendebarkan kerana TFC bakal menghadapi perlawanan akhir Piala FA dengan Johor Darul Ta’zim Sabtu ini.

    “Walaupun bebas kecederaan, beliau (Rahadiazli) masih belum dibenarkan pulang oleh pasukan perubatan untuk pemantauan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rahadiazli tercedera selepas bertembung dengan pemain gantian skuad Hang Tuah, Harith Naem Jaineh pada minit ke-46 ketika dia cuba menyelamatkan bola di dalam kotak penalti.

    Sementara itu, pengendali skuad Penyu, Nafuzi berkata berita tersebut semestinya melegakan pasukan dan juga penyokong skuad hitam putih yang sangat teruja menantikan detik  perlawanan akhir Piala FA yang bakal berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

    “Belum pasti sama ada Rahadiazli dapat bersama-sama kami menjalani latihan esok. Tetapi pasukan ada dua penjaga gol yang biasa kami buat penggiliran iaitu Suhaimi Husin yang jumlah perlawanan terkumpul adalah lebih kurang sama sahaja.

    “Sudah tentu saya mahu Rahadiazli bermain di final, tetapi jika keadaan tak mengizinkan kami ada dua lagi penjaga gol iaitu Suhaimi dan Sharmiza Yusof yang sedia diturunkan bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...