KUALA NERUS, 7 OGOS – Terengganu FC (TFC) mara ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan penalti setelah kedudukan terikat satu sama pada perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.
Dengan kemenangan itu, TFC yang dibimbing ketua jurulatih Nafuzi Zain akan berdepan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pasukan kendalian Michael Feichtenbeiner bermula garang dengan melancarkan serangan seawal minit ketujuh ke kubu pertahanan tuan rumah, namun percubaan Nor Hakim Hassan berjaya digagalkan penjaga gol Rahadiazli Rahalim.
Pasukan tuan rumah yang mula mendapat rentak bangkit melakukan serangan balas dan beroleh peluang pada minit ke-18, sayangnya rembatan deras Petrus Shitembi sedikit tinggi melepasi palang.
Walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, Selangor terlebih dahulu mencetak gol pertama pada minit ke-23 menerusi Nor Hakim untuk meletakkan skuad The Red Giants di hadapan.
Pada minit ke-42 skuad Penyu beroleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, malangnya sepakan gunting kapten pasukan Kipre Tchetche pula terkena palang. – Bernama