Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    TFC tawar kontrak baharu

    KUALA TERENGGANU, 25 OKT – Terengganu Football Club Sdn Bhd masih menagih khidmat jurulatih muda meningkat naik, Nafuzi Zain dengan menawarkan kontrak baharu kepada beliau untuk musim depan.

    Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah di Kediaman Seri Iman di sini, hari ini.

    Menurut Wan Sukairi, keputusan untuk mengekalkan khidmat jurulatih kelahiran Kelantan itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang beliau membawa pasukan Terengganu FC (TFC) ke pentas akhir Piala FA dan layak ke saingan Piala Konfederansi Asia (AFC) musim depan.

    “Keputusan mesyuarat bersetuju memberi tawaran kepada saudara Nafuzi Zain untuk terus mengemudi pasukan TFC musim depan dengan bajet yang ada pada Terengganu Football Club Sdn Bhd sekarang.

    “Tawaran sambungan kontrak dibuat kerana kita berpuas hati dengan pencapaian dan beliau juga berjaya memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan pihak pengurusan musim ini iaitu layak ke AFC dan final Piala FA,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd di sini, hari ini.

    Bagaimanapun menurut Wan Sukairi, pihaknya masih perlu menunggu keputusan akhir daripada Nafuzi yang diharap dapat meneruskan misi ke AFC musim depan.

    Katanya, pihak pengurusan akan menghantar surat tawaran dalam masa terdekat kepada Nafuzi dan beliau diberi tempoh 14 hari bagi menyatakan jawapan.

    “Kita tawarkan kontrak setahun kepada Nafuzi, harap dia dapat beri jawapan secepat mungkin untuk kita susuli dengan perkara lain,” katanya. – Bernama

    Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Mohd Zain pada sidang media selepas perlawanan antara pasukannya dengan Sabah FC dalam saingan Liga Super 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...