KUALA NERUS, 10 OKT – Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan helah skuad The City Boys dalam pertemuan Liga Super di Cheras, malam esok.
Menurut Nafuzi aksi finalis Piala Konfederansi Asia (AFC) itu sukar dijangka dan sentiasa menampilkan kejutan, ketika berhadapan mana-mana pasukan lawan.
Malah kekebalan kubu pertahanan skuad bimbingan Bojan Hodak yang diketuai Giancarlo Gallifuoco dan penjaga gol sensasi Kevin Mendoza, akan menjadi ujian ampuh kepada jentera serangan skuad Penyu yang turun dengan misi wajib tiga mata.
“Walaupun TFC memiliki rekod kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut, KL City FC tetap mempunyai kelebihan selaku finalis Piala AFC dan bakal beraksi di gelanggang sendiri.
“Cabaran ini bukan mudah buat kami terutama untuk menembusi kubu pertahanan. Tetapi kita akan cuba dapatkan gol awal untuk naikkan motivasi pasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak di sini.
Bagi memastikan momentum kemenangan malam esok, Nafuzi yang sudah tiga musim membimbing TFC berkata sandaran utama diletakkan kepada penyerang import kelahiran Ivory Coast Kipre Tchetche, yang baharu sahaja meledak hatrik ketika perlawanan Melaka United FC tempoh hari.
Katanya walaupun sudah berusia 34 tahun, Tchetche memiliki kualiti serta sentuhan berbisa selaku penyerang yang boleh diharapkan untuk membawa kemenangan kepada pasukan.
Beliau percaya tidak mustahil sekiranya Tchetche mampu meledak hatrik pada saat dan waktu yang tepat dengan bantuan rakan sepasukan.
“Tetapi sebagai pemain, ada masanya dia tak dapat menjaringkan gol, itu adalah sesuatu yang normal dan tidak adil jika terus dikritik,” katanya. – Bernama