BANGKOK, 13 Jun – Thai AirAsia X yang juga syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh pertama Thailand, telah memperoleh pengesahan semula standard keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ia berserta satu lagi syarikat penerbangan NokScoot, menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) berkenaan dalam satu majlis yang dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Arkom Termpittayapaisith dan Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop.
Menurut Sukmanop, Thai AirAsia X dan NokScoot merupakan syarikat penerbangan keempat dan kelima menerima AOC semula dan mencatat detik bermakna kerana kedua-duanya mengendalikan penerbangan antarabangsa.
“NokScoot dan Thai AirAsia X mewakili industri penerbangan Thailand di peringkat global yang serba kompetitif. Sehubungan itu, kita berharap kemampuan mereka memperoleh sijil itu dapat meningkatkan keyakinan kedua-dua syarikat itu serta penumpang warga asing,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Setakat ini, CAAT telah menganugerahkan AOC kepada lima syarikat berdaftar di Thailand, merangkumi kira-kira 77 peratus laluan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan terbabit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia X, Nadda Buranasiri menyifatkan kejayaan mendapat AOC itu sebagai paparan tahap standard syarikat penerbangan itu khususnya kepentingan keselamatan yang menjadi teras perkhidmatannya. – Bernama