Thai Airways kemuka pelan penyusunan semula

BANGKOK, 14 SEPT – Mahkamah Kemuflisan Thailand hari ini memberikan kelulusan kepada Thai Airways International untuk menghantar pelan penyusunan semula perniagaan dan melantik tujuh perancang untuk menyelianya.

Satu siaran media dari syarikat penerbangan itu berkata pelan harus dihantar ke mahkamah pada akhir tahun. Kemudian, penerima syarikat akan berunding dengan pemiutang untuk input mereka sebelum mahkamah meluluskan pelan dan melantik pentadbir pada awal 2021. Pelan itu akan dilaksanakan selepas itu.

Thai Airways International pada Mei mempunyai bebanan hutang berjumlah hampir 300 bilion baht. Terbaharu, ia menanggung kerugian sebanyak 12 bilion baht pada 2019, 11.6 bilion baht pada 2018 dan 2.11 bilion baht pada 2017.

Kabinet Thailand pada Mei meluluskan pengurangan dalam saham kerajaan dalam syarikat penerbangan itu kepada kurang 50 peratus sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula.

Tindakan itu dengan segera telah dilaksanakan.

Dengan pengurangan dalam 51 peratus saham yang dipegang oleh Kementerian Kewangan, syarikat penerbangan kehilangan statusnya sebagai perusahaan milik kerajaan. Tindakan itu juga bermakna kesatuan perusahaan negara syarikat penerbangan akan dibubarkan secara automatik. – AP

Jet Thai Airways terletak di landasan terbang Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand kelmarin. – AP