BANGKOK/HANOI, 24 MEI – Thailand mencatatkan 2,713 lagi kes baharu COVID-19 dan 30 kematian, dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah jangkitan setakat ini sebanyak 132,213 serta 806 kematian.
Kes baharu itu merangkumi 2,664 penularan tempatan dan 49 kes import, termasuk 41 rakyat Thailand yang balik dari Kemboja, kata Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan.
Beliau berkata untuk kes kematian pula melibatkan 20 lelaki dan 10 wanita berusia antara 28 hingga 105 tahun termasuk 11 di Bangkok, Nakhon Ratchasima dan Ratchaburi (masing-masing tiga) dan Samut Sakhon dan Samut Prakan (masing-masing dua).
Dalam pada itu, Vietnam mencatatkan 33 lagi jangkitan COVID-19 dalam tempoh enam jam setakat 12 tengah hari pada 24 Mei, semua kes dilaporkan di kemudahan kuarantin dan kawasan yang ditutup, menurut agensi berita Vietnam memetik Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 28 kes dilaporkan wilayah Bac Giang, empat di wilayah Hai Duong dan satu di bandar Da Nang.
Setakat ini Vietnam mencatatkan keseluruhan 5,308 kes termasuk 3,823 jangkitan tempatan. – Bernama




































