Thai gantung penerbangan, askar tidak kuarantin

BANGKOK, 14 JULAI – Thailand menggantung semua penerbangan masuk ke negara hari ini selepas seorang askar Mesir tidak melakukan kuarantin kendiri dan pergi ke kompleks membeli-belah sebelum diuji positif COVID-19.

Negara beraja itu tidak melaporkan sebarang kes domestik koronavirus selama 50 hari, mendapat pujian kerana perintah berkurung ketatnya yang setakat ini berjaya mengawal jangkitan.

Negara itu sudah pun secara perlahan membuka ruang udaranya, berharap dapat menggunakan kadar rendah virus itu untuk mempelawa kembali pengunjung bagi meningkatkan ekonominya yang terjejas akibat kemerosotan dalam pelancongan.

Namun semua penerbangan masuk akan dihentikan selepas sekumpulan askar Mesir yang memasuki negara itu melalui lapangan terbang dikawal tentera, U-Tapao, di wilayah Rayong tanpa sebarang saringan virus.

Mereka sepatutnya menjalani kuarantin kendiri di sebuah hotel sebelum berlepas pulang sehari sebelumnya sebaliknya mereka pergi ke sebuah kompleks membeli-belah berhampiran. Seorang askar dari kumpulan itu kemudiannya diuji positif virus itu.

Pihak berkuasa kini bertungkus-lumus mengesan kontak rapat kira-kira 1,700 orang di kompleks membeli-belah tersebut dan kawasan sekitarnya.

Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha mengatakan beliau akan ‘memikul semua tanggungjawab’ bagi kesilapan itu dan mengeluarkan permintaan maaf jarang dibuatnya kerana menjejaskan ‘keyakinan dan keselamatan’ orang awam.

“Ia berlaku kerana orang ramai tidak menghormati peraturan,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung di televisyen. “Semua penerbangan masuk akan dihentikan – tidak akan ada lagi kelulusan sehinggalah kami menyelesaikan masalah ini.”

Thailand yang menerima penerbangan pulang hampir setiap hari, mengenakan perintah kuarantin 14 hari ke atas sejumlah kumpulan warga asing yang dibenarkan masuk – seperti pasangan asing warga Thailand, pemegang permit kerja dan pelajar asing. – AFP

Seorang petugas kesihatan mengambil swab daripada seorang wanita untuk diuji bagi koronavirus di wilayah Rayong, Thailand selepas kegagalan seorang askar Mesir menjalani kuarantin kendiri dan diuji positif. – AP