Thai giatkan usaha pengesanan kes aktif

BANGKOK, 4 MEI –Thailand mempergiat usaha pengesa-nan kes aktif untuk membendung COVID-19 merebak dengan lebih pantas di tengah-tengah peningkatan jumlah kes, kematian dan kluster baharu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata lagi kluster baharu dikesan di daerah Khlong Toei, Pathumwan dan Dusit di Bangkok.

“Jumlah kes di Bangkok terus melonjak dan usaha kawalan penyakit kini tertumpu di Bangkok.

“Lebih banyak usaha untuk mengesan kes aktif akan dibuat untuk mengekang penularan jangkitan,” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini hari ini. Beliau berkata jumlah kes yang dilaporkan di Bangkok berkaitan dengan pusat hiburan dan perjalanan rentas wilayah semasa festival Songkran pada April lalu.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 1,763 kes baharu dan 27 lagi meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan masing-masing 72,788 jangkitan dan 303 kematian.

Sehingga kini, sejumlah 30,011 pesakit masih dirawat di hospital dan jumlah pesakit kritikal meningkat kepada 1,009 dengan 311 pesakit menggunakan mesin ventilator.

Untuk kes baharu, Taweesin berkata 1,750 jangkitan tempatan termasuk 562 kes di Bangkok, Samut Prakan (201) dan Nonthaburi (168).

Sebanyak 13 kes import dilaporkan termasuk empat warga tempatan berusia antara 12-40 tahun yang masuk secara haram dari Malaysia, katanya. – Bernama

Anggota masyarakat Klong Toey yang tinggal di kawasan paling tinggi mencatatkan kes COVID-19 menunggu untuk diberikan suntikan vaksin di Bangkok. – AFP