Thai keluarkan 27.82 juta tan metrik sisa buangan

BANGKOK, 6 Mac – Berikutan pertumbuhan pesat penduduk dan urbanisasi, sejumlah 27.82 juta tan metrik bahan buangan terhasil di Thailand tahun lepas, peningkatan 1.64 peratus daripada jumlah 2017, kata Jabatan Kawalan Pencemaran (PCD) dalam satu laporan.

Dalam risalah ‘Booklet on Thailand State of Pollution 2018’, diterbitkan oleh jabatan itu, ia menyatakan, di Bangkok, sejumlah 4.85 juta tan metrik sisa buangan terhasil, iaitu kira-kira 17 peratus daripada jumlah sisa buangan negara.

“Sebanyak 76 buah wilayah yang lain menyumbang 22.97 juta tan metrik sisa buangan tahun lepas,” katanya.

Risalah itu mengandungi perangkaan dan inisiatif diambil oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan PCD dalam masalah pencemaran air, udara dan sisa buangan di Thailand.

Laporan itu juga menyatakan pengurusan sisa buangan di negara ini menunjukkan penambahbaikan, dengan 9.58 juta tan metrik atau 34 peratus sisa buangan perbandaran diasingkan di peringkat punca dan dikitar semula, peningkatan 13 peratus daripada jumlah 2017. Bagaimanapun, katanya 10.88 juta tan metrik atau 39 peratus sisa buangan perbandaran telah dilupuskan secara sempurna sementara 7.36 juta tan metrik lagi (27 peratus) dilupuskan secara tidak sempurna.

Pada 2018, laporan itu berkata dua juta tan metrik sisa buangan plastik perbandaran terhasil termasuk 1.2 juta tan metrik beg plastik dan 500,000 tan metrik botol plastik.

Ia menyatakan 7.15 juta tan metrik sisa buangan telah dilupuskan secara tidak sempurna dengan membuangnya terus ke sungai dan laut.

“Sejumlah 569,657 butir bahan hampasan, seberat 33 tan metrik dikutip di pantai, terumbu karang dan hutan bakau di 48 kawasan dalam 24 wilayah negara ini, tahun lepas.” – Bernama