Ribuan berhimpun kecam sokongan AS terhadap Israel

JAKARTA, INDONESIA, 21 MEI – Lebih 1,000 umat Islam berhimpun untuk melakukan demonstrasi di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara hari ini untuk mengecam sokongan Amerika terhadap Israel dan menuntut serangan udara Israel di Semenanjung Gaza dihentikan.

Para penunjuk perasaan berarak dari beberapa masjid selepas solat Jumaat ke jalan utama di luar kedutaan, yang berada di bawah pengawasan polis yang ketat.

Mereka berarak di sepanjang jalan sambil melaungkan ‘Allahu Akbar’ dan ‘Selamatkan Palestin.’

Pihak berkuasa dengan pembesar suara memberi amaran kepada penunjuk perasaan untuk menjaga penjarakan sosial semasa demonstrasi yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Islam dan beberapa kumpulan lain, untuk mencegah penyebaran koronavirus.

Lebih 3,000 anggota polis, kebanyakannya mengenakan pakaian keselamatan, dikerahkan untuk melindungi kedutaan dan istana presiden dan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berdekatan.

Indonesia, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, tidak mempunyai hubungan diplomatik formal dengan Israel dan tidak ada kedutaan Israel di negara itu.

Laporan media menyebut bahawa demonstrasi seumpamanya turut diadakan hari ini di beberapa ibu kota di seluruh Indonesia. – AP

Seorang wanita Muslim menjulang pelekat yang tertera perkataan bermaksud ‘Indonesia tidak akan mengiktiraf Israel’ di luar Kedutaan Besar AS, Jakarta, kelmarin. – AP