Thai percepat vaksinasi, tentera bantu pengebumian

BANGKOK, 2 OGOS – Berikutan jumlah kematian COVID-19 terus meningkat, Tentera Diraja Thai (RTA) menyediakan perkhidmatan pengebumian percuma untuk membantu meringankan beban waris yang kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19, ketika negara itu turut berusaha mempercepatkan kempen vaksinasi.

Penolong Jurucakap Tentera Darat Kapten (Kor Tentera Wanita) Kannanat Phornnipatkul berkata anggota tentera yang terbabit dengan perkhidmatan itu telah dilatih untuk memastikan proses pengebumian mangsa COVID-19 dijalankan dengan selamat. Peranan tentera dilihat penting memandangkan jumlah korban terus meningkat terutama di Bangkok dan wilayah berhampiran, apatah lagi ketika banyak kematian mengejut dilaporkan berlaku di rumah atau tempat awam, katanya.

“RTA akan urus bermula daripada proses memindahkan mayat hinggalah kepada pengebumian di krematorium RTA. “Sehingga kini, RTA telah menguruskan 592 kes sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, dengan angka kematian COVID-19 Thailand melebihi 5,000 hari ini, Bangkok menetapkan satu sasaran untuk mencapai kadar vaksinasi lebih 50 peratus dalam Ogos, ketika negara itu berdepan penularan paling teruk akibat varian Delta.

Jumlah keseluruhan kes setakat hari ini ialah sebanyak 633,284, menurut Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan. Beliau turut mengumumkan bahawa ia merancang memvaksin sehingga 80 peratus penduduk di ibu negara Bangkok, 70 peratus di wilayah lain yang dianggap ‘zon merah gelap’ yang merupakan kawasan paling teruk terjejas serta 50 peratus di wilayah-wilayah selebihnya menjelang hujung bulan ini.

CCSA turut memutuskan untuk melanjutkan perintah berkurung semasa bagi sekurang-kurangnya dua minggu lagi dan meluaskan ‘zon merah gelap’ daripada 13 wilayah kepada 29 lagi. – Bernama/Xinhua

Sukarelawan memakai PPE mengusung keranda mangsa COVID-19 di sebuah kuil di Bangkok, Thailand. Tentera negara itu turut menyediakan perkhidmatan pengebumian ketika angka kematian akibat varian Delta meningkat. – Bernama