Thai siasat tawaran anak angkat online

BANGKOK, 11 SEPT – Polis Antipemerdagangan Manusia Thailand sedang menyiasat laman sesawang yang menawarkan anak damit untuk dijadikan anak angkat.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Masyarakat  Chuti Krairiksh mengarahkan agensi penguatkuasaan supaya menyiasat laman sosial Facebook yang memuatkan foto anak damit untuk dijadikan anak angkat disebabkan ibu bapanya tidak mampu untuk memelihara anak lelaki itu.

“Halaman itu telahpun ditutup, bagaimanapun, polis akan meneruskan siasatan untuk mengesan pelaku  perkhidmatan itu dalam media sosial.

“Perdagangan seperti ini dilarang keras kerana ia melanggar undang-undang antipemerdagangan manusia dan perlindungan kanak-kanak,” katanya, dipetik oleh Bangkok Post.

Chuti berkata pengambilan anak angkat memerlukan proses undang-undang, termasuk pemeriksaan ketat latar belakang ibu bapa yang ingin memelihara atau mengambil anak angkat. -Bernama