Thai Vietjet syarikat pertama sahkan akan beroperasi

HANOI, 15 JUN – Thai Vietjet syarikat penerbangan pertama yang mengesahkan akan beroperasi semula untuk penerbangan domestik, laluan antara Bangkok (Suvarnabhumi) dan lapangan terbang antarabangsa Phuket.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) mengumumkan pembukaan semula lapangan terbang antarabangsa Phuket untuk penerbangan domestik mulai 13 Jun.

Menurut agensi berita Vietnam (VNA) anak syarikat penerbangan tambang murah Vietjet Air itu akan melaksanakan prosedur keselamatan dan kesihatan termasuk mengambil suhu badan penumpang dan kru, serta penjarakan sosial.

Selain itu, penumpang juga dikehendaki memakai penutup mulut dan hidung sepanjang berada di dalam pesawat.

Pada masa ini, Thai Vietjet menyediakan penerbangan domestik termasuk laluan antara Bangkok dan Chiang Mai, Chiang Rai, Phuket, Krabi, Udon Thani.

Sebelum ini, syarikat penerbangan tersebut turut menawarkan perjalanan percuma selama setahun kepada kakitangan perubatan barisan hadapan, termasuk semua anggota Jawatankuasa Pencegahan dan Pengawalan COVID-19 Thailand dan semua doktor serta jururawat dari 160 hospital khusus untuk merawat pesakit COVID-19. – Bernama