Thailand: 51 korban COVID-19 dalam tempoh 24 jam

BANGKOK, 23 JUN – Thailand melaporkan kematian harian tertinggi akibat COVID-19 apabila 51 lagi korban dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian keseluruhan seramai 1,744.

Thailand turut mencatat 3,174 kes baharu menjadikan terkumpul sebanyak 228,538 setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, korban terbaru itu melibatkan 26 lelaki dan 25 wanita berusia antara 29 hingga 31 tahun, termasuk seorang warga Myanmar.

Menurut beliau 34 kematian dilaporkan di Bangkok, masing-masing tiga di Pathum Thani dan Samut Prakan, masing-masing dua di Chon Buri dan Nakhon Pathom dan masing-masing satu di Nonthaburi, Ratchaburi, Yala, Prachin Buri, Songkhla, Sa Kaeo dan Saraburi.

Daripada kes baharu, beliau menyatakan 3,148 adalah jangkitan tempatan termasuk 720 melalui pengesanan kes aktif, dan 26 kes import.

“Bangkok mencatat jumlah tertinggi sebanyak 956 kes. Setakat ini, terdapat 96 kluster aktif di bandar raya itu,” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Thailand bersetuju untuk mengurangkan selang masa antara dos vaksin COVID-19 AstraZeneca kepada lapan minggu berbanding 10 hingga 12 minggu berikutan varian Delta sudah dikesan di negara ini.

Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Dr Kiattiphum Wongrachit berkata NCDC memutuskan untuk menyesuaikan masa untuk dos kedua kerana varian Delta merebak dengan cepat.

Seorang pakar virologi dari Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan menyatakan 90 peratus jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di negara itu adalah varian Alpha, pertama kali dikesan di United Kingdom.

Dalam catatan di Facebook, beliau menjangkakan jumlah jangkitan membabitkan varian Delta akan meningkat secara beransur dalam tiga hingga empat bulan akan datang.

Beliau berkata kemungkinan juga akan muncul varian baharu COVID-19 pada masa depan dan oleh itu penularan varian ini perlu dipantau rapi untuk meningkatkan langkah kawalan penyakit.

Sementara itu, Dr Yong berkata Thailand sedang mengkaji mengenai kaedah campuran vaksin.

Menurut beliau kajian itu melibatkan vaksin Sinovac untuk dos pertama dan AstraZeneca bagi dos kedua yang diberi dalam tempoh empat minggu kemudian.

“Dalam ujian makmal, dapatan kajian menunjukkan hasil yang sangat memuaskan. Tetapi kami masih bimbang mengenai kesan sampingan,” katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Dr Yong menambah mereka yang telah lengkap divaksin mungkin menunjukkan imuniti yang rendah dan memerlukan suntikan ketiga.

“Jika diberikan tepat pada waktunya, ia dapat meningkatkan imuniti sepuluh kali ganda,” katanya. – Bernama