Thailand belum buka pintu untuk pelancong asing

BANGKOK, 28 OGOS – Model Phuket yang diwujudkan untuk menyambut pelancong asing tidak akan dilaksanakan dalam waktu terdekat, sebaliknya rakyat Thailand digesa bercuti untuk membantu merancakkan kembali ekonomi tempatan, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Jurucakap kerajaan Traisulee Traisoranakul berkata projek itu yang dirancang sebagai panduan dalam menyambut pelancong asing masih dibincangkan dengan terperinci.

Banyak faktor perlu dipertimbangkan termasuk kaedah penerimaan dan kategori pelawat serta langkah-langkah saringan untuk mengelakkan gelombang kedua penularan COVID-19, kata jurucakap itu.

“Ia memerlukan lebih banyak masa sebelum dapat dilaksanakan untuk menjamin apabila warga asing dibenarkan masuk mereka tidak akan menimbulkan risiko penularan kedua COVID-19,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini pintu untuk pelancong asing masih belum dibuka.

Justeru itu, kerajaan mengajak rakyat Thailand membantu merangsang ekonomi dan mengagihkan pendapatan kepada penduduk setempat dengan melancong dalam negara. – Bernama