Thailand berlumba hasilkan vaksin COVID-19

SARABURI, Thailand, 25 MEI – Thailand sedang menjalankan ujian ke atas monyet macaque tatkala ia berlumba untuk menghasilkan vaksin koronavirus yang lebih murah yang diharapnya akan tersedia pada 2021, kata penyelidik hari ini.

Lebih daripada 100 calon vaksin sedang dibangunkan dalam pelbagai peringkat di seluruh dunia, sekurang-kurangnya lapan dalam percubaan klinikal dengan manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Dr Suchinda Malaivitjitnond, pengarah Pusat Penyelidikan Primat Nasional Thailand yang menyelia suntikan vaksin kepada sekumpulan 13 monyet pada Sabtu, berkata beliau berharap vaksin ‘Buatan Thailand’ adalah lebih murah daripada vaksin buatan Eropah atau Amerika.

Fasa ujian ke atas monyet diadakan selepas percubaan ke atas tikus mencatat kejayaan, kata penyelidik.

Pengarah Institut Vaksin Kebangsaan Nakorn Premsri berkata jika ujian ke atas monyet memberikan keputusan positif, percubaan terhadap manusia dapat dijalankan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Vaksin COVID-19 Universiti Chulalongkorn, Kiet Rakrungtham berkata sebanyak 10,000 dos vaksin akan dihasilkan untuk 5,000 sukarelawan bagi percubaan ke atas manusia.

“Vaksin ini akan dihasilkan oleh dua kilang. Kami jangka kilang pertama akan mengeluarkan vaksin untuk percubaan ke atas manusia menjelang Oktober,” katanya. – AFP

Gambar menunjukkan anak monyet makmal sedang diperiksa oleh pekerja pusat pembiakan untuk ‘cynomolgus macaques’ di Pusat Penyelidikan Primat Kebangsaan Universiti Chulalongkorn di Saraburi. – AFP