Thailand buka sekolah mulai Isnin

BANGKOK, 10 JUN – Sekolah di Thailand akan mula dibuka semula pada Isnin (14 Jun), selepas sesi baharu persekolahan ditunda sebanyak dua kali tahun ini berikutan peningkatan kes COVID-19. 

Sesi persekolahan sepatutnya dibuka pada 17 Mei lalu kemudian ditunda kepada 1 Jun, sebelum ditunda sekali sehingga 14 Jun.

Menteri Pendidikan Treenuch Thienthong berkata kementerian telah mengarahkan semua sekolah membuat persiapan dan menyesuaikan sistem pembelajaran untuk memastikan persekitaran yang selamat. 

Beliau berkata sekolah mempunyai beberapa pilihan kaedah pembelajaran termasuk secara bersemuka, dalam talian, melalui program televisyen satelit, bahan pembelajaran dihantar ke rumah pelajar atau melalui aplikasi mudah alih. – Bernama