Thailand catat 15 kes baharu COVID-19, sifar kematian

BANGKOK, 26 APRIL – Thailand merekodkan 15 kes baharu COVID-19 dengan sifar kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 2,922 kes dan 51 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata sebanyak 2,594 kes telah pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala 277 lagi masih dirawat.

Beliau berkata dua daripada 15 kes yang dilaporkan itu dari Yala, wilayah selatan negara berkenaan, susulan penemuan kes aktif.

“Thailand mencatatkan kes positif baharu COVID-19 yang rendah. Ini adalah petunjuk yang baik, bagaimanapun kita perlu memantau lebih dekat situasi ini dan meningkatkan penemuan kes aktif.

“Kita perlu terus mengamalkan kebiasaan baharu sehingga vaksin ditemui. Jika tidak, kita akan menyaksikan peningkatan ketara kes baharu,” katanya dalam taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Bangkok mencatatkan jumlah kes jangkitan COVID-19 tertinggi dengan 1,481 daripada 2,922 kes kumulatif yang dilaporkan di negara itu diikuti Phuket (205), Nontaburi (156), Samut Prahkan (111) dan Yala (108). – Bernama

Ketua-ketua kampung dan para pegawai tentera membawa bantuan makanan untuk diedarkan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat lockdown di daerah Panare, wilayah Pattani, selatan Thailand. Thailand pada 26 April merekodkan 15 kes baharu COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhannya 2,922 kes. – AFP